Emir ubah persepsi terhadap pempengaruh

Emir ubah persepsi terhadap pempengaruh

EMIR Haqim Azahari berkhidmat sepenuh masa sebagai Pegawai Intervensi Awal Kanak-Kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pempengaruh terutamanya dalam generasi muda sering dikaitkan dengan hanya mengejar populariti di media sosial.

Namun, tidak bagi Emir Haqim Azahari yang mempunyai matlamatnya sendiri.

Pemuda berusia 23 tahun ini menggunakan kelebihan sebagai pempengaruh untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesihatan mental.

Di usia muda, beliau telah mencipta nama di alam maya dengan menyampaikan mesej berkaitan kesihatan mental menerusi video dan penulisan di platform media sosial.

Memulakan cerita, anak kedua daripada tiga beradik ini memulakan langkah sebagai pencipta kandungan pada tahun 2015, ketika masih menuntut di bangku persekolahan.

Katanya, tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kehidupan seharian.

“Waktu itu, saya hanya menghasilkan video ringkas tentang motivasi dan pembangunan diri. Saya tidak pernah terfikir bahawa orang akan memberi sambutan positif.

“Jumlah pengikut di media sosial semakin meningkat serta mereka memberi galakan untuk saya terus berkongsi kandungan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Emir yang merupakan seorang ‘ulat buku’ menjadikan hobinya itu sebagai sumber inspirasi dalam menyampaikan mesej kepada pengikut.

Kini, beliau juga menerima jemputan untuk memberi ceramah di universiti dan institusi pengajian tinggi untuk memberi kesedaran mengenai kesihatan mental.

KERJAYA YANG TIDAK DISANGKA

Bergelar pempengaruh tidak menjadi penghalang beliau untuk terus mengejar impian dan membina kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan.

Selain mencipta kandungan, Emir juga berkhidmat sepenuh masa sebagai Pegawai Intervensi Awal Kanak-Kanak di The Playhouse Therapy Centre.

Menurutnya, pada awalnya, beliau hanya ingin mencuba sesuatu yang baharu selepas menamatkan pengajian dalam bidang kaunseling.

Perjalanan awalnya tidak mudah sementelah tugasnya memerlukan beliau bekerja rapat dengan murid berkeperluan khas untuk membina kemahiran dan mencapai matlamat yang ditetapkan bersama ibu bapa.

“Saya mula menceburi bidang ini secara suka-suka, namun tanpa disangka, kini sudah tiga tahun saya di sini dan banyak pengalaman berharga yang saya pelajari.

“Pekerjaan ini sangat mencabar, terutama daripada segi fizikal dan mental. Saya pernah rasa seperti tidak mampu melakukannya,” katanya.

Namun, sikap ingin belajar dan tidak mudah berputus asa mendorong untuk terus bertahan.

Bagi Emir, perjalanan ini bukan sekadar kerjaya, tetapi tanggungjawab untuk membantu dan memberi kesan positif kepada orang lain.

Beliau menyedari setiap pekerjaan yang dilakukannya adalah sebuah amanah dan komitmennya.

Justeru, beliau mahu terus berusaha menunaikan tugas tersebut sebaik mungkin.

Selain aktif di media sosial, Emir turut menceburi bidang peragaan sebagai usaha untuk keluar dari zon selesa.

Minat ini juga membuka peluang untuknya berkolaborasi dengan pelbagai jenama pakaian, sekali gus memberinya pemahaman yang lebih mendalam tentang selok-belok industri fesyen.

FLEKSIBILITI

Emir menekankan pentingnya pengurusan masa yang efisien dan berkesan bagi memastikan segala tanggungjawab dapat dilaksanakan.

Katanya, beliau mengatur jadual dengan teliti dan memberi tumpuan kepada tugas yang benar-benar penting.

“Saya lebih fokus pada memberikan yang terbaik dalam pekerjaan hakiki saya.

“Aktiviti lain seperti kolaborasi dengan jenama atau memberi ceramah di universiti, saya hanya akan terima jika ia sesuai dengan jadual dan keadaan saya pada masa itu,” katanya.

Sokongan daripada keluarga merupakan faktor penting dalam membantunya mengharungi kesibukan harian.

“Pada awalnya, mereka kurang memahami, tetapi sekarang mereka lebih menghargai komitmen saya dan memberi sokongan penuh.

“Tanpa sokongan mereka, saya tidak mungkin dapat menjalani pelbagai kerjaya ini dengan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×