Pengangkutan van sekolah haram berleluasa

Pengangkutan van sekolah haram berleluasa

PEMANDU van haram menggunakan kenderaan persendirian bagi membawa pelajar ke sekolah dan pulang dari sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan perkhidmatan van dan bas sekolah melalui kenderaan persendirian dilihat semakin berleluasa tanpa ada penguatkuasaan tegas sekali gus meletakkan nyawa pelajar dalam risiko bahaya.

Kebanyakan mereka yang menawarkan khidmat ‘prebet sapu’ itu beroperasi secara haram tanpa permit sah dan tiada Lesen Pengangkutan Awam (PSV).

Malah, terdapat kemungkinan kenderaan telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau pemandu tidak mempunyai lesen dan ada antara mereka memandu secara berbahaya kerana ingin mengejar ‘trip’ mengambil serta menghantar pelajar sekolah.

Ramai ibu bapa turut melahirkan kebimbangan terhadap perkhidmatan ini, namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana perkhidmatan van dan bas sekolah berlesen sangat terhad.

Bukan hanya di kawasan bandar, perkhidmatan haram ini turut wujud di kawasan luar bandar, dengan pemandu dikatakan tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah sekolah di Sentul dan Bangi mendapati ramai pemandu yang menjadikan kenderaan persendirian sebagai ‘van sekolah’, sekali gus tidak mengendahkan undang-undang yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sekurang-kurangnya 10 ke 15 buah van sekolah haram dikesan berulang-alik mengangkut pelajar di sebuah sekolah sepanjang tempoh dua jam ketika waktu pulang sekolah.

Kenderaan yang tidak mempunyai permit tersebut masih berani berbuat demikian ekoran terdapat banyak permintaan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga sendiri.

Sekumpulan ibu bapa yang ditemui melahirkan kebimbangan berhubung situasi itu kerana tahap pematuhan keselamatan kenderaan tersebut serta kelayakan pemandu yang tidak terjamin.

Justeru, mereka menasihatkan penjaga lain agar tidak menggunakan khidmat van sekolah yang beroperasi tanpa permit sah yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada anak-anak mereka.

Seorang ibu pelajar yang mahu dikenali sebagai Norlin berkata, dia kerap kali melihat pemandu kenderaan sekolah terbabit memandu van mereka dalam keadaan bahaya seperti memotong di garisan berkembar, memecut laju dan menunjuk lagak samseng kepada pengguna jalan raya lain.

“Ada pemandu van yang berkelakuan biadab dengan masuk simpang secara berbahaya tanpa beri laluan kepada pengguna jalan raya lain jalan terlebih dahulu dan meletak kenderaan mereka sehingga menghalang lalu lintas.

“Situasi begitu dilihat setiap hari sewaktu menunggu anak habis waktu persekolahan dan risau jika anak saya berada dalam kenderaan terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, dia bersama penjaga lain cuba untuk menegur pemandu-pemandu berkenaan kerana memandu secara berbahaya, namun reaksi yang diterima tidak seperti diharapkan.

Bapa pelajar, Putra pula berkata, ramai pemandu yang tidak mempunyai permit tersebut merupakan warga berusia 40 dan 50 tahun ke atas yang dikatakan lebih tahu selok belok jalan tanpa perlu teguran dari sesiapa.

“Semakin ramai pemandu bas dan van sekolah kini berkelakuan seperti ‘gangster jalanan’. Mereka seolah-olah menganggap kawasan sekolah itu hak milik mereka sepenuhnya, parkir mereka punya, jalan raya juga mereka kuasai. Malah, adab ketika berada di jalan raya langsung tidak diendahkan.

“Hal itu tidak sepadan dengan bayaran bulanan yang diberikan dengan kualiti pemanduan yang diberikan mereka. Setiap tahun harganya meningkat, namun aspek keselamatan tidak menjadi keutamaan mereka,” luahnya.

Dalam pada itu, dia berkata, setiap kali sebelum sesi baharu persekolahan bermula, pemandu-pemandu berkenaan sudah bersedia menerima tempahan daripada ibu bapa dan penjaga kepada pelajar yang dikatakan menawarkan harga lebih murah daripada kenderaan sekolah berdaftar.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, pengangkutan itu sewajarnya didaftarkan dengan pihak sekolah bagi memastikan aspek keselamatan pelajar lebih terjamin ekoran langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang kerunsingan terhadap keselamatan mereka.

“PIBG bersama JPJ disarankan melaksanakan pemeriksaan berkala ke atas kenderaan-kenderaan sekolah. Keadaan yang digunakan perlu sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Selain itu, pemandu juga perlu mempunyai kemampuan memandu yang mematuhi piawaian keselamatan, bebas daripada sebarang risiko seperti penyalahgunaan dadah, serta memiliki lesen PSV yang sah,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, persatuan pemandu van sekolah pula perlu berperanan dengan lebih telus dan benar-benar membela kebajikan rakyat, bukannya mengeksploitasi pekerja dalam industri ini.

“Diharapkan pemilik kenderaan sekolah memberikan keutamaan kepada kebajikan dan keselamatan pelajar, bukannya hanya mengejar keuntungan semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×