Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia beberapa tahun lalu, ramai yang mula tertarik untuk membela haiwan peliharaan.
Selain kucing, arnab juga menjadi pilihan popular sebagai teman setia di rumah. Kecomelan dan sifat manja mereka bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mampu menceriakan suasana.
Bagi Ridzlyn, 24, arnab kecil yang diberi nama Neo ini bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi peneman yang hadir dalam hidupnya di saat semua orang terperangkap dalam kebosanan dan kesunyian dek pandemik.
Neo ditemui secara tidak sengaja ketika itu, namun cukup membawa keceriaannya kepadanya.
“Neo merupakan arnab accidental litter atau tanpa kawalan pembiakan yang betul. Dia dipisahkan terlalu awal daripada ibunya, sedangkan arnab sebenarnya perlu tinggal bersama ibu dan adik-beradik mereka sekurang-kurangnya sehingga berusia empat bulan.
“Saya masih ingat, ketika itu saya baru mula belajar tentang penjagaan arnab, lebih-lebih lagi arnab kecil yang memerlukan perhatian dan penjagaan rapi.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa meskipun bermula dengan cara yang kurang ideal, Neo akan membesar dengan penuh kasih sayang dan perhatian,” katanya kepada Seri.
Mengulas lanjut, Ridzlyn berkata, Neo gemar melompat-lompat dan sifat manjanya yang sentiasa mencari perhatian, menambah keceriaan dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga.
“Keletahnya yang menghiburkan sentiasa mencuri tumpuan, menjadikan setiap detik bersama Neo begitu berwarna-warni dan penuh kegembiraan,” katanya.
SIFAT LUCU
Kata Ridzlyn, sifat Neo yang lucu dan unik merupakan daya tarikan utama yang membuatkan si manja itu begitu istimewa.
Meskipun kelihatan seperti tidak mahu diganggu, Neo sebenarnya sangat terlatih dan tahu rutin harian, termasuk masa makan yang tidak pernah terlepas.
“Neo memiliki sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Dia akan mengikuti saya ke mana sahaja, sama ada ketika saya sedang belajar atau bahkan ketika berada di dalam tandas, dia pasti berada dalam pantauan saya.
“Kalau ada makanan, dia akan datang segera, tetapi kalau tidak ada, dia akan buat muka sombong, seolah-olah tidak mahu perhatian.
“Ada kalanya, jika sayur lambat sampai, dia akan merajuk dan makan mengikut waktu dia sendiri,” ujarnya.
Neo adalah arnab yang gemar bersosial dan lebih ceria apabila mempunyai teman.
Ujarnya, kehidupan Neo tanpa pasangan menjadikannya sangat bergantung kepada perhatian tuannya, menjadikan hubungan mereka semakin erat dan penuh kasih sayang.
“Walaupun agak penat melayan Neo yang single, saya menikmati setiap detik bersama arnab kesayangan ini.
“Arnab boleh hidup lama dan kita boleh benar-benar eratkan hubungan dengan mereka dalam jangka masa panjang. Itulah yang paling istimewa,” ujarnya.
DIET
Ridzlyn amat teliti dalam menjaga diet pemakanan haiwan peliharaannya, kerana dia percaya penjagaan yang baik memerlukan komitmen yang tinggi.
Katanya, Neo memerlukan diet yang kaya dengan serat dan nutrisi kerana ia merupakan kunci kepada kesihatan sistem pencernaannya, serta untuk memastikan Neo sentiasa aktif dan ceria.
“Neo memerlukan diet berasaskan rumput kering sepanjang hari, disertai dengan sayuran segar seperti salad romaine, salad kampung, ketumbar, daun pasli dan pelbagai lagi sebagai sumber nutrisi penting.
“Buah-buahan pula diberikan hanya satu atau dua kali seminggu, antaranya tembikai, beri biru, mangga dan betik,”katanya.
Di samping itu, Ridzlyn juga memberi Neo pelbagai jenis pellet berkualiti tinggi, seperti Oxbow, dalam jumlah yang sangat terkawal antaranya satu hingga dua sudu besar setiap hari.
“Pellet ini memberikan tambahan nutrisi yang tidak diperoleh daripada rumput kering dan sayuran. Namun, saya sentiasa memastikan jumlahnya tetap terkawal, kerana pemakanan utama Neo tetap rumput kering dan sayuran-sayuran,” ujarnya.
Memastikan pemakanan yang betul bukan hanya soal memberi makanan yang enak, tetapi juga komitmen dalam menjaga kesihatan jangka panjang Neo.
Ridzlyn sedar dengan memberi diet yang sesuai, Neo dapat menikmati kehidupan yang panjang, aktif dan penuh keceriaan.-UTUSAN










