PETALING JAYA: Pas menegaskan bahawa isu tuntutan jawatan dalam Perikatan Nasional (PN) akan dibincangkan secara dalaman di peringkat gabungan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan melalui saluran yang betul dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan baik tanpa sebarang isu besar.
Menurut beliau, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian, termasuk perlembagaan PN, keahlian parti-parti yang ingin menyertai, serta pembahagian jawatan dalam gabungan itu.
“Kita akan berbincang dalam mesyuarat Perikatan Nasional, dan Insya-Allah semua perkara dapat diperbaiki.
“Penambahbaikan akan dilakukan untuk memastikan semua pihak dalam PN mendapat manfaat yang adil dan menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan jawatan-jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya hanya dikuasai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga meminggirkan parti lain terutama Pas dalam gabungan berkenaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menegaskan, meskipun pimpinan Pas tidak banyak bersuara dalam isu tersebut demi menjaga hubungan, namun Pengerusi PN sepatutnya lebih adil dalam menentukan kedudukan dalam gabungan itu.
Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mana-mana parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) berhak menuntut sebarang jawatan utama tidak kira Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahupun Gerakan.
“Semua jawatan dalam PN itu adalah kebersamaan sebagai satu entiti dan jawatan tersebut tidak mewakili parti-parti secara berasingan,” katanya.










