Konflik politik punca Tengku Zafrul sertai PKR?

Konflik politik punca Tengku Zafrul sertai PKR?

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Isu membabitkan Ahli Majlis Ter­tinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikatakan akan menyertai PKR bukan ‘drama’ yang sengaja dicetuskan sepertimana didakwa pembangkang.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, ia bukan untuk menutup isu besar yang melanda negara termasuk membabitkan Titah Adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara dalam bentuk tahanan rumah.

Sebaliknya beliau berkata, isu itu berpunca daripada konflik dalaman UMNO sendiri khususnya di Selangor sehingga memberi kesan kepada kerjasama politik di negeri terbabit.

“Isunya bermula dalam kepemimpinan UMNO Selangor. Selepas meletak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor, kita sudah boleh jangka langkah Tengku Zafrul seterusnya.

“Apabila UMNO Selangor gagal menguruskan konflik, apa pilihan yang (Tengku Zafrul) ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. 

Sebelum ini, media melaporkan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri didakwa bakal meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.

Susulan itu juga, Pas menerusi Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, bantahan UMNO susulan desas-desus tentang penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR adalah satu ‘drama bersiri’ sahaja.

Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata, keputusan Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja jika menyertai PKR dalam tempoh terdekat ini bukan tindakan baik dan bijak.

“Ini kerana Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Sabah akan diadakan tidak lama lagi dan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) atas dasar Kerajaan Perpa­duan, tapi antara parti peringkat bawah sangat longgar,” jelasnya.

Katanya, selepas dua tahun pemerintahan kerajaan Perpa­duan Malaysia Madani diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa cabaran dan masalah dikenal pasti. 

“Bukan sahaja dari segi pemerintahan tetapi hubungan antara parti. Tengku Zafrul menjadi menteri berdasarkan pengalaman korporat bukannya daripada segi politik dengan mendaki tangga dari bawah akar umbi.

“Maka budaya politik dalam UMNO yang berada dalam titik paling rendah setakat ini tidak memberi keselesaan kepada beliau. Tengku Zafrul mungkin selesa dengan cara Anwar dari segi pentadbiran, tetapi politik kepartian dan persaingan dalaman UMNO mungkin melelahkan beliau,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×