Konflik Russia-Ukraine: Boleh bawa kepada perang dunia ketiga?

Konflik Russia-Ukraine: Boleh bawa kepada perang dunia ketiga?

KONFLIK bersenjata yang berlaku antara Russia-Ukranie semenjak Februari 2022 adalah perang konvensional semata-mata iaitu menggunakan stok persenjataan moden yang lama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIMBANGAN konflik bersenjata di Eropah terhadap perkembangan konflik Russia-Ukraine yang memuncak apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi kebenaran kepada Ukraine melancarkan peluru berpandu balistik jarak jauh jenis Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) buat pertama kali pada 21 November, lalu masuk ke kawasan Russia dan melancarkan satu lagi serangan peluru berpandu jarak jauh milik Britain yang dikenali sebagai Storm Shadow ke wilayah Kursk di Russia pada 22 November, mengundang kebimbangan negara dan masyarakat Eropah mengenai ancaman tercetusnya Perang Dunia Ketiga atau Peperangan Tidak Terhad (unlimited war).

Kebimbangan Eropah terhadap perkembangan ini dapat dilihat dengan tindakan Ukraine dan Russia dalam konflik bersenjata antara kedua negara yang semakin agresif, selain turut membabitkan persenjataan strategik.

Kesannya ia mempengaruhi Jerman mengeluarkan amaran dan persediaan kepada sektor perniagaan dan ekonomi serta masyarakat awam mengenai situasi ancaman peperangan yang berkemungkinan berlaku termasuk mengedarkan risalah kepada masyarakat awam.

Langkah ini dilakukan oleh beberapa negara Eropah lain seperti Finland, Sweden, Norway dan Denmark yang mengeluarkan amaran mengenai persediaan dalam menghadapi konflik peperangan berskala besar.

Rumor mengenai ancaman Perang Dunia Ketiga ini menimbulkan persoalan, adakah negara-negara yang berstatus Anggota Tetap Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Russia, AS, Britain, China dan Perancis bersedia menghadapi atau membenarkan meletusnya Perang Dunia Ketiga?

Umumnya dalam menganalisa potensi ancaman peperangan pastinya ia wujud dalam sistem antarabangsa yang mana peperangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Maka tidak hairan negara kuasa besar dan negara agresif tidak akan berkompromikan apabila membincangkan soal keselamatan mahupun pertahanan sebagai pembangunan negara. Namun persoalan kedua adalah adakah potensi ancaman ini mempunyai pemberat yang boleh dipertimbangkan bahawa ia akan membawa kepada peperangan berskala besar seperti yang diuar-uarkan?

Bagi menganalisa persoalan kedua ini, antara aspek yang perlu dilihat adalah kesungguhan atau kehendak politik sesebuah negara yang terlibat dalam konflik ini untuk membawa kepada Perang Dunia Ketiga. Pertama, dalam perspektif ini, perkembangan awal konflik ini lebih tertumpu kepada peperangan konvensional dan ia merupakan respon kuasa besar Russia terhadap Ukraine yang merupakan negara bersempadan dan bekas jajahan Russia yang condong kepada Barat dilihat memberikan ancaman kepada Russia.

Konflik bersenjata yang berlaku antara Russia-Ukranie semenjak Februari 2022 adalah perang konvensional semata-mata iaitu menggunakan stok persenjataan moden yang lama dan tidak menggunakan senjata strategik seperti peluru berpandu balistik jarak jauh dan senjata nuklear.
Namun di mata negara lemah, peperangan Russia-Ukraine adalah peperangan yang besar sedangkan dalam perspektif kuasa nuklear, ia adalah peperangan konvensional. Sekiranya Russia bersedia untuk membawa konflik kepada berskala besar, maka Russia dari awal menggunakan senjata strategik seperti peluru berpandu balisitik jarak jauh.

Ketidaksungguhan Russia untuk membawa konflik yang lebih besar berskala tidak terhad dapat dilihat semenjak Perang Russia-Ukraine meletus pada Februari 2022 telah mengorbankan sebanyak 66,000 anggota tentera Russia. Justeru, dengan jumlah kematian yang besar ini sekiranya Russia serius untuk membawa konflik ini kepada Perang Dunia Ketiga, pihak Russia telah memiliki justifikasi yang kuat namun sehingga akhir November lalu mereka masih kekal dengan peperangan konvensional berbanding perang nukelar atau berskala tidak terhad. Di sini, ia menunjukan Russia tidak berhajat untuk membawa konflik konvensional kepada konflik yang besar.

Tindakan Ukraine menggunakan dua serangan peluru berpandu pada 21 dan 22 November lalu dilihat cuba mengheret dua kuasa besar dunia iaitu AS dan Britain ke dalam konflik Russia-Ukraine secara langsung. Malah terdapat laporan yang menyatakan Biden membuat keputusan secara terburu-buru dengan memberikan kebenaran kepada Ukraine melancarkan serangan ke atas Russia dan akan meninggalkan beban kepada Presiden AS yang baharu iaitu Donald Trump.

Hakikatnya Ukraine di bawah Presiden Volodymyr Zelensky gagal menyelesaikan konflik yang meletus selama tiga tahun dan negara sekutu seperti AS, Britain dan Eropah seolah-olah meninggalkan (abandon) Ukraine dalam konflik dengan Russia. Justeru, untuk mempercepatkan penyelesaian konflik, Ukraine perlu membabitkan kuasa besar secara langsung. Selain itu, persoalan mengenai kesungguhan kuasa besar untuk menghadapi ancaman Perang Dunia Ketiga dapat dianalisa mengenai kesan perebakan konflik antara dua negara (Russia-Ukraine) kepada konflik bersenjata di seluruh Eropah, AS dan Asia. Ini kerana seperti mana AS yang memiliki negara sekutu, Russia juga turut mempunyai negara sekutu dan penyokong seperti China, Korea Utara, Belarus, Iran, Cuba, Venezuela, Myanmar, Syria, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Mali, Nicaragua dan sebagainya. Malah laporan daripada AS pada 8 November lalu terdapat penglibatan tentera Korea Utara di Kursk, Russia.

PERANG NUKLEAR
Sekiranya peperangan Russia-Ukraine membawa kepada Perang Dunia Ketiga maka ia pastinya membabitkan peperangan nuklear secara tidak terhad. Sekurang-kurangnya 18 buah negara memiliki senjata serta kemudahan pelancaran senjata nuklear dan negara yang memiliki senjata biologi yang dikategorikan di bawah ‘senjata pemusnah besar-besaran’ (WMD) melebihi 50 buah negara di seluruh dunia. Persoalannya adakah Russia, AS, Britain, China dan Perancis bersedia menghadapi risiko kemusnahan sejagat ini?

Bencana kebocoran reaktor nuklear ke empat di Loji Kuasa Nuklear Chernobyl (ChNPP) di Utara Ukraine pada 28 April 1986 menyebabkan darurat di seluruh Eropah menjadi ukuran mengenai bencana nuklear kepada manusia selepas bom atom di Hiroshima dan Nagasaki 1945.

Selain itu, adakah blok Barat bersedia mengorbankan keharmonian sejagat dan kemakmuran ekonomi yang dikecapi hanya semata-mata untuk Ukraine? Persoalan-persoalan ini menjadi elemen yang diambil kira dalam menganalisa sejauh mana kemampuan meletusnya Perang Dunia Ketiga.

Umumnya sehingga kini, ia lebih tertumpu kepada peperangan konvensional berbanding peperangan nuklear.-UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mohamad Faisol Keling ialah Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×