Kepulangan Sharlinie tetap dinanti - Utusan Malaysia

Kepulangan Sharlinie tetap dinanti

SHARLINIE MOHD. NASHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Ibu mana yang tidak meratap pemergian anak tersayang apatah lagi ia ghaib begitu sahaja.

Demikian perasaan Suraya Ahmad, 41, yang kehilangan anaknya, Sharlinie Mohd. Nashar pada Januari 2008 dan meskipun peristiwa sedih itu sudah 13 tahun berlalu, rindu kepada anak perempuannya yang dipanggil Nini itu sema­kin kuat menjelang sambutan Aidilfitri.

Berkongsi kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Pulut di sini semalam, Suraya berkata, dia sentiasa ingat dan rindukan Nini, tak pernah lupa walau sesaat lebih-lebih lagi apabila raya semakin dekat.

Dia yang kini merupakan ibu tunggal dan bekerja di kedai makan yakin Nini masih hidup, malah tiga anaknya iaitu Nurul Amira, 24; Sharliena, 21, dan Adam, 12, turut berpendapat yang sama.

“Doa saya dan anak-anak agar kami dapat beraya bersamanya kalau ditakdirkan dia kembali sekurang-kurangnya sebelum saya pergi,” katanya.

SURAYA Ahmad bersama tiga anaknya iaitu Nurul Amira (hadapan), Sharliena dan Adam.

Menurut Suraya, peristiwa hitam yang berlaku ketika anak-anaknya masih kecil dan belum lahir menyebabkan tiga beradik itu tiada kenangan Syawal bersama Syarlinie.

Bahkan, katanya, setiap kali Aidifltiri Adam turut menanti bila kakaknya yang langsung tidak pernah dikenali itu akan pulang ke rumah.

“Allah berikan rezeki zuriat yang seiras Nini semasa kecil sebagai pengubat rindu kami sekeluarga selain baju dan anak patung yang ditinggalkan.

“Saya berharap usaha pencarian yang dijalankan pihak berkuasa dapat menemui petunjuk baharu kerana terlalu rindukan Nini,” katanya yang berasal dari Taman Medan, Pe­taling Jaya.

Suraya yang berpisah de­ngan bekas suaminya, Mohd. Nashar Mat Hussien, 42, sejak 2019 turut merancang untuk kembali ke rumah keluarganya selepas 13 tahun menetap di daerah ini.

Kisah kehilangan kanak-ka­nak berusia lima tahun, Sharlinie Mohd. Nashar di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor pada 9 Januari 2008 pernah menggemparkan negara.

Walaupun hingga kini tiada khabar berita di mana Sharlinie berada, namun ahli keluarga tetap menaruh harapan agar insan tersayang itu dapat kembali semula ke pangkuan mereka.

Sementara itu kakak Sharlinie, Nurul Amira,24, menjadikan anak patung beruang milik adiknya menjadi pengubat rindu.

Nurul Amira, berkata, anak patung yang dibelikan ibu bapanya itu masih disimpan di rumah selain sehelai baju berwarna merah jambu.

Katanya, kali terakhir dia memegang anak patung ber­kenaan adalah pada minggu lalu kerana terlalu rindukan adiknya selepas berbuka puasa bersama keluarga.

“Kalau tiba-tiba teringat Nini, saya tengok anak patungnya yang disimpan dalam almari dan tanpa sedar air mata mengalir.

“Saya lebih rapat dengan Nini sebab selalu bermain de­ngannya kerana adik kedua, Sharliena, 21, bersekolah lain sesi. Pada masa itu, Nini suka main jadi bos dan saya pula terpaksa jadi pekerjanya,” katanya.

Menurut Nurul Amira lagi, hatinya juga mudah sebak jika mendengar lagu ‘Hanya Tuhan yang Tahu’ nyanyian Amra yang dicipta khusus oleh komposer, Allahyarham Seri Bayu untuk adiknya ketika peristiwa hitam itu.

Dia yang sudah mendirikan rumah tangga pada 2019 berkata, penderitaan emosi yang ditanggung akibat kehilangan insan tersayang cukup berat dan faham situasi yang dilalui ibunya selama bertahun-tahun sejak ketiadaan Sharlinie.

“Bayi saya meninggal ketika kandungan berusia enam bulan dan perasaan itu tentunya tidak sama dengan emak yang pernah mengandung, melahirkan dan menjaga adik sehingga berusia lima tahun, “ ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×