DAMSYIK: Semua kumpulan pejuang yang bertanggungjawab membebaskan Syria daripada pemerintahan diktator Bashar al-Assad akan dibubarkan dan dilatih untuk menyertai barisan Kementerian Pertahanan.
Dalam pertemuan dengan ahli komuniti Druze, pemimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Ahmed al-Sharaa berkata, semua puak pejuang akan tertakluk kepada undang-undang.
Beliau juga berusaha untuk meyakinkan golongan minoriti di dalam negara dan kerajaan luar negara, pemimpin sementara akan melindungi semua rakyat Syria serta institusi negara.
Al-Sharaa turut menekankan keperluan untuk kesatuan di negara yang berbilang etnik dan agama itu.
“Syria mesti kekal bersatu. Perlu ada kontrak sosial antara negara dan semua agama untuk menjamin keadilan sosial,” katanya dalam hantaran di saluran Telegram kumpulan tersebut.
Kenyataan itu dibuat selepas Bashar kembali bersuara sejak melarikan diri ke Russia, konon mendakwa dirinya dipindahkan dari pangkalan tentera atas permintaan Moscow.
Russia, bersama Iran dan Hezbollah di Lubnan, membantu menyokong pemerintahan Bashar selama ini.
“Pemergian saya dari Syria bukan sesuatu yang dirancang, dan ia tidak berlaku semasa saat-saat terakhir pertempuran seperti didakwa sesetengah pihak.
“Moscow meminta agar komando pangkalan tersebut mengatur pemindahan segera ke Russia.
“Apabila negara jatuh ke tangan keganasan dan keupayaan untuk memberikan sumbangan yang bermakna hilang, mana-mana jawatan menjadi tidak berguna,” kata Bashar menerusi kenyataan di Telegram.
Bagaimanapun, lima bekas pegawai memberitahu AFP, Bashar meninggalkan Syria beberapa jam sebelum kumpulan pejuang merampas Damsyik.
TAMATKAN SEKATAN
Kejatuhan era pemerintahan Bashar mengejutkan dunia dan mencetuskan kegembiraan di seluruh Syria, selepas tindakan kerasnya terhadap protes demokrasi pada 2011 membawa kepada peperangan paling teruk abad ini.
Pemimpin diktator itu meninggalkan negara yang dibelenggu dengan puluhan tahun penyeksaan dan pengurusan ekonomi terburuk, menyebabkan 70 peratus penduduk bergantung kepada bantuan.
Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher menggesa aliran sokongan besar-besaran disalurkan ke Syria.
Masyarakat antarabangsa perlu bersatu dengan rakyat Syria, katanya.
Ekonomi Syria masih terhimpit oleh sekatan Amerika Syarikat (AS) serta Eropah, dengan kuasa Barat masih menentukan cara untuk berhubung dengan HTS.
Dalam pertemuan dengan delegasi diplomat British kelmarin, al-Sharaa menekankan keperluan untuk menamatkan semua sekatan yang dikenakan terhadap Syria supaya pelarian dapat kembali ke negara mereka.
Kerajaan asing memulakan penglibatan secara berhati-hati dengan pemerintah sementara baharu Syria.
Turkiye dan Qatar membuka semula kedutaan di Damsyik, sementara pegawai AS dan British memulakan komunikasi dengan pegawai Syria.
Sementara itu, Diplomat Tertinggi Kesatuan Eropah (EU) tiba di Damsyik pada Isnin, untuk mengadakan beberapa pertemuan.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata, penghapusan sekatan dan penyingkiran HTS daripada senarai hitam EU akan bergantung kepada langkah positif dan tindakan kepemimpinan baharu.-AFP










