DHAKA: Suruhanjaya Bangladesh yang menyiasat penyalahgunaan kuasa semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina mencadangkan pembubaran unit polis bersenjata, Batalion Tindakan Pantas (RAB).
Hasina, 77, melarikan diri dengan helikopter ke negara jiran India pada 5 Ogos lalu selepas pemberontakan yang dipimpin pelajar menyerbu istana perdana menteri di Dhaka.
Kerajaannya dituduh melakukan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia, termasuk pembunuhan luar undang-undang terhadap ratusan lawan politik, penculikan dan kehilangan ratusan yang lain.
Suruhanjaya Siasatan Kehilangan Paksa, yang ditubuhkan oleh kerajaan sementara, berkata ia menemukan bukti awal penglibatan Hasina dan bekas pegawai kanan lain dalam kes kehilangan secara paksa yang didakwa dilakukan oleh RAB.
Pasukan polis separa tentera RAB dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2021, bersama tujuh pegawai kanannya, sebagai tindak balas kepada laporan mengenai pelanggaran hak asasi manusia terburuk semasa pemerintahan Hasina selama 15 tahun.
“RAB tidak pernah mematuhi undang-undang dan jarang sekali dipertanggungjawabkan atas kekejamannya, termasuk kehilangan paksa, pembunuhan luar undang-undang dan penculikan,” kata anggota suruhanjaya, Nur Khan Liton kepada AFP.
Suruhanjaya tersebut menyerahkan laporan awalnya kepada ketua kerajaan sementara, Muhammad Yunus, semalam.
Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), antara parti politik terbesar di negara itu, turut menggesa RAB dimansuhkan.
Pemimpin kanan BNP, M. Hafizuddin Ahmed berkata, pasukan itu terlalu rosak untuk diperbaiki.- AFP











