Al-Quran, cahaya di alam barzakh

Al-Quran, cahaya di alam barzakh

ZAKARIA OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AL-QURAN ialah kalam Allah yang penuh dengan khazanah ilmu dan petunjuk kepada manusia dalam menjalani kehidupan yang berkah di dunia ini hingga ke akhirat kelak.

“Demikian, mereka yang membaca dan mendalami al-Quran bakal memperoleh pelbagai syafaat yang dapat membela dan menghindari mereka daripada kesesatan dan kejahilan dunia. Di alam barzakh, al-Quran dapat menyelamatkan roh manusia, menerangi kegelapan alam kubur dan memelihara kita daripada azab kubur,” kata Pengasas Maahad Derang, Zakaria Osman.

Ilmuwan yang sudah lebih empat dekad berjasa dalam pengajian al-Quran itu memberitahu, mereka yang membaca al-Quran itu memperoleh banyak pahala dan mulia di sisi Allah SWT.

“Satu huruf yang kita baca sudah membolehkan kita dapat 10 pahala, bayangkan berapa huruf dalam al-Quran dan berapa banyak pahala yang kita dapat. Perkara ini jelas terkandung dalam Hadis

Riwayat (HR) Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda – Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya diberi 10 pahala dan ditambah 10 lagi kebajikan seumpamanya.”

“Pahala-pahala ini yang menjadi cahaya atau nur kepada manusia ketika berada di alam kubur. Itu kerana di alam kubur, mulut kita tidak dapat lagi berkata-kata melainkan seluruh anggota tubuh kita yang lain. Amalan kita membaca al-Quran ini akan jadi nur menyelamatkan kita dari azab kubur,” katanya ketika ditemui rumahnya, di Derang, Pokok Sena baru-baru ini.

Menurut beliau yang masih aktif mengajar al-Quran kepada pelajar di Maahad Tarbiah Islamiah Derang ini, bagi mereka yang takut untuk membaca al-Quran kerana kurang lancar atau tidak memahami hurufnya dinasihatkan agar berguru dengan mereka yang mahir.

 

TOK GURU ZAKARIA OSMAN
Usia: 84
Pendidikan:
Pondok Bukit Pinang Alor Setar, Kedah
Pondok Guar Kepayang, Gurun
Pondok Bunut Payong Kota Bharu Kelantan
Jawatan:
Pengasas Maahad Derang, Pokok Sena
Guru al-Quran Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena

“Semua maklum bahawa di akhir zaman, al-Quran dihilangkan daripada mushaf dan ingatan manusia. Apabila kita membaca yang tersirat ia bermakna, al-Quran ini semakin tidak diendahkan oleh manusia dan guru-guru al-Quran untuk mengajar ilmu ini sudah tiada.

“Janganlah jadi golongan seperti ini, kalau takut untuk membaca sebab tidak tahu hurufnya pergilah berguru dengan mereka yang mahir. Orang kita kadang-kadang malu sebab tidak tahu membaca dengan lancar dan betul sedangkan proses belajar al-Quran ini sepanjang masa iaitu sehingga kita tua,” jelasnya.

Beliau turut melahirkan harapan agar semua umat Islam merebut kesempatan membaca dan mendalami kitab penawar dan petunjuk kehidupan dunia itu sebelum terlambat.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, amalan membaca al-Quran itu harus dipupuk pada usia muda iaitu pada seawal kanak-kanak boleh bertutur.

“Ibu bapa kalau anak-anak sudah boleh bercakap, ajarlah dia mengenal huruf dahulu. Apabila dia sudah bersekolah, bolehlah dia mendalami dan belajar dengan betul. Budak-budak juga terang hati dan mudah mendalami al-Quran.

“Walaupun kelak dia tidak memilih sekolah agama, biarlah ilmu itu meresap dalam jiwa dan menjadi benteng hidupnya. Al-Quran harus jadi petunjuk dalam kehidupan kita supaya kita tahu dosa dan pahalanya,” ujarnya.

Menyentuh tentang dirinya, kata tok guru ini, beliau akan terus mengajar al-Quran di maahad tersebut sehingga ke hujung nyawa.

“Tiap-tiap hari saya ajar al-Quran kepada pelajar Tingkatan Enam selama satu jam sahaja kerana faktor usia. Saya akan terus mengajar selagi termampu,” katanya yang merupakan antara 40 individu yang meneroka dan membangunkan Maahad Derang itu pada 1980 sehingga ia menjadI salah satu institusi agama yang disegani ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×