SEJAK di zaman universiti, anak jati Kajang, Selangor ini sudah terlibat dalam aktiviti lasak bagi mencabar kemampuan diri.
Langkah pertamanya adalah dengan menyertai silat olahraga ketika di peringkat diploma.
Setelah memasuki alam pekerjaan, minat Radin Nur Aina Mohd. Ali, 27, pada aktiviti lasak tidak pernah padam dan mula berjinak-jinak dengan mendaki gunung dan bukit pula.
Ia gara-gara ajakan lapan rakan sepejabat yang sememangnya aktif dalam pendakian hingga mendorong mereka membentuk kumpulan, Pasukan Kembara Malaysia (PKM).
Lama-kelamaan rutin itu berkembang kepada penerokaan gua dan pelbagai aktiviti lasak lain termasuk flying fox dan berkayak.
Misinya adalah untuk mencabar diri melakukan sebanyak mungkin perkara-perkara di luar kebiasaan.

“Saya selalu ada keinginan mahu buat benda-benda baharu yang menguji adrenalin.
“Segelintir orang mungkin ada keinginan sama tetapi terhalang dek rasa takut atau teragak-agak mereka.
“Prinsip saya, kena cuba dahulu, sama ada berjaya atau tidak, itu perkara kedua kerana sekurang-kurangnya saya sudah berusaha dan dapat menikmati pengalaman berharga daripadanya,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Sepanjang dua tahun terjebak dalam hobi itu, dia sudah menawan Gunung Angsi di Negeri Sembilan yang setinggi 825 meter diikuti Bukit Batu Putih dan Batu Sawa di samping Rawang Bypass.
Menceritakan pengalaman kali pertamanya mendaki pada 2023, katanya, ia melibatkan persediaan selama dua minggu.
Aktiviti pendakian bertambah seronok apabila dapat bersantai dan mandi-manda di air terjun Ulu Bendul.
Laju bukan keutamaan
Menyifatkan dirinya bukan dalam kategori pendaki profesional, Radin Nur Aina tidak begitu mementingkan soal kelajuan.
Keutamaannya adalah untuk sampai ke puncak tanpa mengira tentang tempoh masa yang diambil.
“Kelajuan saya normal sahaja kerana yang paling penting adalah dapat tiba ke puncak.
“Cepat atau lambat, bukan ukuran asalkan dapat menamatkan pendakian. Bagi saya, itu pun sudah dianggap sebagai kejayaan,” katanya.
Jelas penjawat awam ini, segala penat lelah hilang sekelip mata apabila melihat panorama indah dari atas puncak.
Tambahnya lagi, aktiviti pendakian memberi banyak manfaat bukan sahaja pada tubuh badan malah kesihatan mental.

“Diri jadi lebih tenang di samping minda dan perspektif pun bertambah meluas.
“Perlahan-lahan hobi ini mengubah cara saya melihat dan menilai sesuatu benda yang sebelum ini mungkin saya tidak ‘nampak’.
“Ia dipengaruhi oleh pengalaman yang dilalui, dihayati dan dipelajari sepanjang aktiviti pendakian termasuk elemen keyakinan diri, tolong-menolong, tolak ansur dan semangat berpasukan,” katanya.
Dalam masa sama, hobinya itu dapat menambahkan lagi kenalan-kenalan baharu daripada latar kerjaya berbeza.
Sehingga kini, dia memiliki lebih 10 rakan sepanjang terlibat dalam aktiviti itu.
Loya, pening
Pada 11 Februari lalu, Radin Nur Aina mengikuti trip ke Gunung Kerunai di Gerik, Perak yang berketinggian 1,000 meter.
Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana gagal tiba ke puncak berikutan faktor kesihatan.
“Pendakian bermula pukul 3 pagi dan kami bergantung sepenuhnya kepada cahaya lampu untuk bergerak.
“Ketika di checkpoint kedua, tiba-tiba saya loya dan pening hingga tidak dapat meneruskan pendakian,” katanya.
Namun, kegagalan itu tidak melemahkan semangatnya untuk menakluk kembali Gunung Kerunai, pada tahun depan.
Katanya, gunung itu menjadi pilihan dan idaman ramai pendaki kerana menawarkan pemandangan awan karpet yang sangat indah.
Malah, dia turut berhasrat mendaki Gunung Alai yang terletak bersebelahan di samping Gunung Kinabalu.
Di sebalik keberaniannya itu, Radin Nur Aina sebenarnya takut kepada pacat.
Namun, dia bertuah kerana tidak pernah digigit haiwan itu ketika melakukan aktiviti lasak.

Cabaran, latihan
Menceritakan penerokaan gua pula, katanya, cabaran aktiviti itu setanding dengan gunung.
“Bagi yang gayat pada ketinggian mungkin akan berdepan kesukaran sepanjang kembara di samping luka-luka di bahagian badan,” katanya.
Antara yang diterokanya ialah Gua Kota Gelanggi di Pahang dan Gua Tempurung, Perak.
Sepanjang kembaranya di bukit dan gua, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bersyukur kerana tidak pernah berdepan situasi mistik.
Katanya, pantang larang yang perlu dipatuhi ialah menjaga kata-kata dan tingkah lalu.
“Setiap individu perlu sentiasa beringat dan berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini ketika pendakian serta penerokaan,” katanya.
Sementara itu, rutin latihan Radin Nur Aina merangkumi brisk walk dan joging di samping turun naik anak tangga di pejabat.
Lazimnya, latihan itu dibuat selepas habis kerja di taman-taman sekitar Putrajaya bersama rakan-rakan PKM lain.
“Latihan saya tidak bersifat keterlaluan dan hanya berpandukan kepada tiga cara itu sahaja.
“Bagi saya itu pun sudah memadai untuk mengekalkan stamina dan membina tenaga,” katanya.
Dalam pada itu, Radin Nur Aina amat menyokong mana-mana wanita yang mahu keluar dari zon selesa dengan mencuba pelbagai aktiviti lasak.
Namun, sarannya, jangan sesekali bergerak secara solo dan carilah kawan-kawan untuk melakukannya secara beramai-ramai.
“Jangan takut untuk mencabar diri, selagi tidak cuba, kita tidak akan tahu kemampuan diri.
“Apabila bersatu dengan alam, kita akan lebih mengagumi segala ciptaan Allah di dunia ini,” katanya.










