DAHULU, kalau mahu tengok gelagat manusia, lokasi yang dituju pastilah di tempat tumpuan orang ramai.
Antaranya, di pusat beli belah, hospital, pasar, stesen Transit Aliran Ringan (LRT), terminal bas, kedai makan dan taman.
Dalam tempoh kurang 30 minit, macam-macam mimik wajah dan situasi dapat disaksikan di depan mata.
Ada anak yang dimarahi ibu, pasangan merpati dua sejoli, manakala di sudut lain pula mempamerkan riak muka monyok dan termenung mengenang nasib.
Saya sendiri pernah melihat seorang wanita berkerjaya, yang duduk berhadapan di dalam LRT tiba-tiba menitiskan air mata ketika berbual perlahan di telefon. Gayanya seperti bergaduh dengan teman lelaki atau suami.
Kini, semua ragam-ragam itu boleh ditonton dengan mudah di media sosial. Buka sahaja TikTok, macam-macam kandungan yang melintas di fyp kita.
Kita dapat lihat kebahagiaan pasangan suami isteri dan kekasih. Hinggakan, di ruangan komen, ramai meminta tips bagaimana mahu cari suami tua yang kaya untuk dikahwini.
Tidak kurang juga yang mahu pindah ke planet lain dan menyerahkan bumi kepada merpati dua sejoli itu.
Selain kebahagiaan keterlaluan, kita juga boleh tengok gaya hidup mewah golongan kayangan, selebriti dan pempengaruh yang tak terjangkau dek akal.
Rumah cantik bak istana, ratusan beg berjenama bersusun di almari kaca, memandu kereta sports, membeli-belah sepanjang masa, duit berkepuk-kepuk, menikmati hidangan omakase dan wagyu saban minggu di samping melancong ke luar negara hampir setiap bulan.
Namun, itu semua hanya sandiwara di dunia media sosial semata-mata.
Golongan yang dikagumi itu hakikatnya berdepan dengan pelbagai krisis rumah tangga, kewangan dan salah guna kuasa.
Selama ini yang disangka bahagia itu rupanya sekadar berpura-pura saling mencintai demi mengejar duit dan populariti untuk menampung hidup.
Yang dianggap kaya-raya pula, terpaksa menanggung beban hutang jutaan ringgit di keliling pinggangnya hingga ‘istana’ disita.
Jadi, janganlah terlalu percaya dengan keindahan di media sosial hingga asyik berangan-angan mahu menjadi seperti idola pujaan masing-masing.
Walaupun kita berbeza taraf dan latar belakang, hakikatnya kita semua sedang berjuang dan bergelut untuk hidup.
Kesenangan, kemewahan, pangkat dan pujian tidak kekal nikmatnya, dalam sekelip mata ia boleh lenyap.
-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia.










