BARU-BARU ini, saya melontarkan pandangan tentang keperluan Perikatan Nasional (PN) melakukan perubahan struktur organisasi untuk memberi nafas baharu dan anjakan paradigma. Langkah ini penting untuk memastikan PN lebih diyakini sebagai kerajaan alternatif yang relevan, dinamik dan inklusif.
Salah satu cadangan saya ialah mengubah jawatan Pengerusi PN kepada konsep Pengerusi Bersama atau Council of Elders (Majlis Penatua). Majlis ini boleh terdiri daripada pengerusi parti-parti gabungan atau negarawan berpengalaman. Langkah ini bertujuan memastikan keputusan dibuat secara kolektif dan bersifat konsultatif, sekali gus memupuk semangat kerjasama antara parti komponen.
MENGHAPUSKAN PEMUSATAN KUASA
Saya turut mencadangkan agar lantikan jawatan utama seperti setiausaha agung, bendahari agung, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya dilakukan melalui perbincangan dan persetujuan bersama dalam mesyuarat.
Malangnya, keputusan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 9 Disember lalu menunjukkan sebaliknya. Barisan kepimpinan diumumkan tanpa rundingan, dan ahli mesyuarat hadir hanya untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada keputusan unilateral Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malangnya, MT PN itu menyaksikan penentuan barisan kepimpinan dibuat tanpa sebarang konsultasi. Barisan kepimpinan hanya diumumkan dalam mesyuarat tersebut tanpa memberikan ruang untuk rundingan atau perbincangan yang lebih inklusif.
Lebih mengecewakan, semua pelantikan ini telah dirancang terlebih dahulu tanpa sebarang makluman kepada ahli mesyuarat. Apabila mesyuarat berlangsung, label nama penjawat baharu telah tersedia di atas meja, seolah-olah keputusan sudah dimuktamadkan di luar mesyuarat. Ini menjadikan kehadiran ahli mesyuarat seperti hanya untuk mendengar taklimat dan memberikan pengesahan semata-mata, bukannya untuk menjalankan peranan sebenar dalam membuat keputusan secara bersama.
PAS TIDAK WAJAR DIPANDANG REMEH
Lantikan dibuat secara unilateral, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Ketua Penerangan. Majoriti daripada 20 lantikan jawatan utama didominasi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Pas hanya diberikan jawatan kecil, meskipun parti Melayu-Islam itu mempunyai jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lebih besar.
Kehadiran ahli mesyuarat hanya untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada keputusan unilateral Muhyiddin, ini mencerminkan pemusatan kuasa yang berlebihan kepada pengerusi PN dan kurangnya semangat perundingan serta rasa hormat terhadap pandangan pelbagai pihak.
Muhyiddin tampaknya semakin hilang sentuhan dengan keadaan sebenar di akar umbi, baik dalam kalangan rakyat mahupun pemimpin lapisan kedua PN. Pemilihan Ahmad Faizal sebagai Ketua Penerangan, misalnya, menimbulkan persoalan besar.
Beliau gagal menunjukkan keberkesanan dalam menjelaskan dasar PN atau mengkritik dasar Kerajaan Madani secara berkesan. Sebaliknya, pemimpin Pas dan tokoh Bersatu seperti Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dilihat lebih layak memikul tanggungjawab tersebut.
Sepatutnya mana-mana satu daripada jawatan setiausaha agung atau ketua penerangan perlu diberikan kepada pemimpin Pas untuk lebih memantapkan PN.
Pengabaian terhadap Pas adalah satu kesilapan strategik. Sebagai parti komponen terbesar dalam PN, Pas tidak wajar diperlakukan seperti ‘taken for granted’ (ambil mudah). Ketidakadilan dalam pembahagian jawatan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati.
PELUANG UNTUK BERGERAK LEBIH MAJU
Parti-parti yang membentuk gabungan politik di Malaysia, termasuk PN, sepatutnya membuat beberapa pembaharuan segera supaya kekal relevan.
Antara pembaharuan ini adalah:
– Mengutamakan kepimpinan segar dan inklusif: Penubuhan Majlis Penatua untuk memantau dasar dan hala tuju parti. Fokus adalah untuk menarik sokongan generasi muda dan pelbagai etnik. Beri peluang pemimpin baharu yang dinamik dan inklusif.
– Memperkukuhkan perpaduan dalaman: Memperkukuhkan perpaduan antara parti komponen dengan memberi lebih ruang untuk semua parti berperanan lebih aktif. Baru nampak pentingnya peranan setiap parti komponen dalam menentukan hala tuju gabungan, bukan sekadar menjadi pemerhati.
– Fokus kepada isu-isu rakyat: Penyesuaian strategi politik dengan memberikan penekanan kepada isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan dan pendidikan.
– Penekanan kepada isu-isu relevan: Ini adalah seperti mempercepatkan pemulihan ekonomi dengan tumpuan kepada sektor strategik.
Saya fikir perkara beginilah yang menjadi punca mengapa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN hanya beberapa hari setelah beliau dilantik ke jawatan itu.
Saya setuju dengan Ahmad Samsuri yang berkata: “Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah.”
Perkara seperti lantikan pemimpin utama PN adalah perkara besar. Langkah Ahmad Samsuri mungkin kecil tetapi diharapkan ia mampu memberi mesej penting kepada pemimpin tertinggi PN dari Bersatu untuk lebih serius dalam gerak kerja meyakinkan rakyat.
Bila PN dilihat tidak demokratik dan mengemukakan tokoh-tokoh kurang meyakinkan sebagai pemimpin utamanya dan komponen utama seperti Pas diketepikan, masalah boleh timbul. Jika dilihat kenyataan beberapa pemimpin muda Pas, mereka semacam sudah tidak boleh bersabar atas layanan kelas kedua Bersatu kepada pemimpin Pas.
Diharapkan akan ada perubahan lebih meyakinkan dalam PN, termasuk kemungkinan membuat rombakan kepimpinan yang lebih meyakinkan dengan melantik tokoh yang lebih kompeten dan diyakini untuk jawatan strategik dalam kadar segera, jika PN mahu menang dalam Raya Umum Ke-16 (PRU16).
PN perlu memahami bahawa rakyat mahukan gabungan politik yang berani melakukan perubahan, bersifat demokratik dan mampu menangani isu-isu utama negara.
Jika PN gagal memperbetulkan kelemahan dalaman dan mengutamakan strategi inklusif, harapan untuk menang dalam PRU16 hanya tinggal angan-angan. Perubahan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mutlak.-UTUSAN
MUHAMMAD Afifi Abdul Razak adalah penganalisis politik tempatan.










