Peniaga bundle kini jadi ikon fesyen

Peniaga bundle kini jadi ikon fesyen

muhammad Ashraf Khairul Anuar menjadi ikon fesyen streetwear.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, daripada menjual pakaian terpakai, Muhammad Ashraf Khairul Anuar, 24, kini berjaya mencipta nama sebagai usahawan muda melalui jenama pakaian jalanan atau streetwear SVG yang semakin dikenali ramai.

Anak ketiga daripada lima beradik ini dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana, namun tekadnya untuk mengubah nasib telah menginspirasikan perjalanan luar biasa dalam dunia perniagaan.

Ashraf membuktikan bahawa dengan semangat dan visi yang jelas, impian besar boleh dicapai, meskipun bermula dari langkah yang kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, beliau memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan seawal usia 17 tahun, sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selepas sahaja tamat peperiksaan SPM, tercetuslah idea untuk menubuhkan Savagestoremy, iaitu perniagaan selam bundle atau bundle thrift.

“Pada waktu itu, saya mempunyai keinginan untuk membantu dan meringankan beban keluarga sementara menunggu panggilan daripada universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pakaian jalanan adalah gaya fesyen yang bersahaja.

Namun, industri ini mencetuskan fenomena dan meraih jutaan keuntungan seiring peredaran masa.

BUAT PERUBAHAN

Setelah tiga tahun menguruskan perniagaan, Ashraf mula merasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan dan meneroka arah baru.

“Walaupun perniagaan pakaian terpakai memberikan keuntungan yang besar, namun ia terhad kerana bergantung kepada jenama luar untuk bekalan pakaian.

“Saya menginginkan sesuatu yang dapat saya kawal sepenuhnya iaitu sebuah jenama yang boleh diuruskan dari segi produk, pemasaran dan hala tuju. Dari situ lahirlah jenama saya sendiri iaitu SVG,” katanya.

INSPIRASI DARI JEPUN

Melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan, Ashraf membawa dirinya ke Jepun untuk meninjau jenama-jenama terkenal dan mengambil inspirasi daripada budaya dan pasaran pakaian jalanan yang berkembang pesat di sana.

“Pengalaman saya di Jepun memberikan inspirasi yang sangat besar. Melihat bagaimana jenama-jenama besar berkembang membuatkan saya lebih yakin,” ujarnya.
Ashraf sentiasa berusaha menawarkan sesuatu yang unik, mengekalkan kualiti yang tinggi serta mengutama­kan fesyen yang boleh digayakan oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya mahu mencipta sebuah jenama yang bukan hanya popular, tetapi juga memberi identiti kepada penggunanya.

“Setiap koleksi saya rancang dengan teliti, memastikan rekaan bukan sahaja mengikuti perkembangan semasa, tetapi membawa mesej dan cerita yang mendalam.

“Saya ingin masyarakat melihat SVG bukan sekadar pakaian, tetapi sebagai simbol keberanian dan kreativiti,” katanya.

CABARAN

Beliau mengakui bahawa cabaran terbesar adalah untuk sentiasa konsisten dan relevan.

Sementelah, industri fesyen, terutama pakaian jalanan dipenuhi dengan jenama-jenama baharu dan lama yang bertapak kukuh.

“Perniagaan SVG bersaing dengan banyak jenama tempatan yang hebat. Saya perlu sentiasa menjaga kualiti dan memastikan produk kita sentiasa diingati.

“Seterusnya, menjaga momentum dalam perniagaan fesyen bukanlah perkara yang mudah. Saya perlu sentiasa peka dengan perubahan perkembangan semasa dan kehendak pasaran,” ujar Ashraf.

Untuk mengatasi cabaran ini, Ashraf tidak sekadar mengeluarkan pakaian, tetapi membina komuniti dengan mengadakan kolaborasi bersama selebriti, pempengaruh dan artis tempatan bagi menarik perhatian golongan muda yang lebih luas.

RAHSIA KEJAYAAN

Di sebalik kejayaan Ashraf, terdapat sokongan padu dari keluarga dan rakan-rakan.

Bapanya yang menjadi tulang belakang sejak awal, turut memberi galakan dalam setiap langkah yang diambilnya.

“Ayah dan adik-beradik adalah sumber kekuatan saya. Mereka sentiasa memberi nasihat dan sokongan kepada saya.

“Selain itu, rakan-rakan saya yang membesar bersama juga memainkan peranan penting dalam perjalanan perniagaan ini,” tambah Ashraf yang kini semakin dikenali sebagai ikon fesyen streetwear.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini