PETALING JAYA: Sebarang kenaikan kadar premium insurans akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya tidak membebankan rakyat dan mengelak inflasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan sedar akan keperluan menaikkan premium itu oleh industri tetapi ia perlu dikawal untuk memastikan ia tidak membebankan rakyat.
Katanya, alasan untuk mewajarkan kenaikan tersebut boleh diterima dan munasabah, tetapi kawalan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan masalah kepada pesakit dan memberi impak negatif terhadap inflasi.
“Kita faham ada sedikit peningkatan dengan alasan munasabah, tetapi harus dikawal.
“BNM dan KKM akan menentukan kenaikan itu tidak akan terlalu tinggi dan menimbulkan banyak masalah kepada pesakit dan masalah kepada peningkatan inflasi,” katanya menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat, semalam.
Utusan Malaysia pada 26 November lalu melaporkan, polisi insurans perubatan dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan dengan alasan kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.
Ekoran itu ramai pengguna bertindak menamatkan polisi insurans perubatan mereka selain mempersoalkan kenaikan yang disifatkan membebankan dan tidak munasabah.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan program Rakan KKM, inisiatif antara KKM dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia.
“Program ini membolehkan Kementerian, GLICs, dan pesakit memilih kemudahan tambahan dengan kos yang lebih rendah, bukan di hospital yang sesak atau sektor swasta yang kosnya terlalu tinggi,” katanya.
Perdana Menteri turut memberitahu, kerajaan merancang meminda Akta 386 (2013) awal tahun hadapan untuk mengawal kenaikan kos perubatan yang semakin membebankan rakyat.
Bagaimanapun beliau berkata, antara langkah jangka pendek untuk mengawal kenaikan kos rawatan adalah dengan memperkenalkan Kumpulan Terkait Diagnosis (DRG) secara menyeluruh.
“Saya dah minta Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan kaedah yang segera dan ini telah dibincangkan panjang, kalau sebaiknya awal tahun hadapan supaya jangan terlalu tinggi kos itu,” katanya.
Akta 386 (2013) merujuk kepada Akta Perubatan (Pendaftaran dan Kawalan) 2013 yang dikenali juga sebagai Akta Perubatan (Pendaftaran dan Kawalan) 2013 (Akta 586).
Akta itu adalah undang-undang yang mengawal dan mengaturkan pendaftaran serta kawalan terhadap profesion perubatan di Malaysia untuk memastikan amalan perubatan yang selamat, beretika, dan berwibawa.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membatalkan komitmen kontrak dengan beberapa syarikat pengeluar ubat yang memonopoli sektor kesihatan negara bagi menangani kos perubatan yang semakin meningkat.
Menurut Anwar, langkah itu bertujuan membuka ruang dalam mencari ubat generik yang lebih murah dan berpatutan sekali gus mengurangkan beban kos rawatan kepada rakyat, tanpa kompromi terhadap keberkesanan.
“Kita tahu alasan kos perubatan. Pertama, ubatan sekarang ini tiada kawalan dan malah pembelian ubat ini selama puluhan tahun ini monopoli, jadi sebab itu kita akan batalkan beberapa komitmen kepada satu hingga dua syarikat.
“Kita minta Kementerian Kesihatan seperti mana beberapa negara lakukan, menjelajah ke beberapa negara supaya mendapat ubat generik yang lebih murah dan berpatutan. Ubat generik ini lebih terkenal di Brazil, India dan China umpamanya, yang dikaji dan tidak semestinya terikat dari Amerika atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi,” katanya.
Perdana Menteri turut mencadangkan sektor kesihatan swasta membeli ubat secara pukal bagi menurunkan kos perubatan di negara ini.
Menurut Anwar, langkah itu sudah dilaksanakan dan berjaya di sektor kerajaan, termasuk KKM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dn Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kos ini dapat dikurangkan antara 20 hingga 25 peratus, bahkan lebih rendah lagi. Jadi kita akan cadangkan ini kepada sektor swasta,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sedang giat menjalankan sesi libat urus mengenai sistem DRG dengan pihak berkepentingan untuk meningkatkan ketelusan caj rawatan di hospital.
“Sistem ini membolehkan kadar bayaran untuk setiap prosedur atau penyakit dapat ditentukan dan diseragamkan dengan lebih mudah dan konsisten,” katanya selepas Majlis Perasmian Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di ibu negara.
Di Parlimen, Dr. Zulkefly berkata, pengamal perubatan yang terkesan dalam isu pengiktirafan selepas menamatkan latihan kepakaran dalam Program Parallel Pathway akan dipertimbangkan semula selepas Akta Perubatan (Pindaan) 2024 dikuatkuasakan.
“Pengamal perubatan yang telah lengkap latihan kepakaran dalam bidang Pembedahan Kardiotorasik, Pembedahan Plastik dan Perubatan Keluarga yang terjejas dalam isu pengiktirafan ini akan dipertimbangkan semula untuk didaftarkan MPM,” katanya. – UTUSAN










