PORT-AU-PRINCE: Serangan ganas di kawasan Cite Soleil, Haiti hujung minggu lalu mengorbankan kira-kira 200 orang, kebanyakannya warga emas, menurut pejabat Perdana Menteri Haiti semalam.
Dalam kenyataan itu, kerajaan menyatakan pihaknya akan menggerakkan semua pasukan untuk mengesan dan menghancurkan mereka yang bertanggungjawab, termasuk ketua geng Wharf Jeremie, Monel Mikano Felix, yang didakwa merancang serangan tersebut.
Menurut Rangkaian Pertahanan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (RNDDH), sebuah NGO tempatan, sekurang-kurangnya 110 orang berusia lebih 60 tahun terbunuh dalam serangan itu, dengan angka korban dijangka meningkat.
NGO itu memaklumkan serangan tersebut didakwa diarahkan oleh Felix selepas anaknya jatuh sakit dan meninggal dunia pada Sabtu lalu.
Selepas mendapatkan nasihat daripada seorang pawang voodoo, Felix percaya warga emas di kawasan itu menggunakan sihir untuk mencederakan anaknya.
Saksi mendakwa mayat-mayat telah dimutilasi dan dibakar di jalanan, termasuk mangsa warga muda yang terbunuh ketika cuba menyelamatkan penduduk.
Cite Soleil, sebuah kawasan setinggan yang padat di pelabuhan ibu kota Port-au-Prince, merupakan antara kawasan termiskin dan paling ganas di Haiti.
Kawalan ketat oleh geng, termasuk sekatan penggunaan telefon bimbit, menyukarkan penduduk untuk berkongsi maklumat tentang pembunuhan tersebut.
Kerajaan Haiti yang bergelut dengan perpecahan politik tidak mampu mengekang pengaruh geng yang semakin besar di ibu kota dan sekitarnya.
Pembunuhan beramai-ramai di Cite Soleil berlaku hanya beberapa bulan selepas geng Gran Grif bertanggungjawab atas kematian sekurang-kurangnya 115 orang di Pont-Sonde, kawasan penting bagi pengeluaran makanan di Haiti.
Haiti sebelum ini memohon bantuan keselamatan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022, tetapi misi yang dipimpin Kenya itu hanya sebahagian kecil dikerahkan setakat ini kerana kekurangan sumber. -AFP











