KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu mengumumkan terlalu awal siapakah yang layak menyandang jawatan Menteri Besar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menawan Pahang, Perak dan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, PN perlu tumpu kepada usaha untuk menang terlebih dahulu sebelum berunding kedudukan calon Menteri Besar yang sebaiknya melihat kepada siapa parti paling banyak memiliki kerusi.
Katanya, tunggu lihat keputusan terlebih dahulu dalam pilihan raya akan datang.
“Lihat keputusan nanti, lihat siapa paling banyak kerusi, jentera, aktiviti apa buat dengan perlu ambil kira semua itu dan berunding. Tidak perlu umum awal, tumpu usaha menang dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam, Selangor dilaporkan berkata, parti itu pada masa ini menyasarkan jawatan Menteri Besar Pahang, Perak dan Selangor jika PN berjaya merampas negeri-negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi PN berkata demikian ketika menjawab soalan berkenan kedudukan Bersatu bersama-sama Pas yang pada masa ini mengetuai pentadbiran di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Pada masa ini, Pas menerajui keempat-empat negeri pembangkang dengan tiada satu pun jawatan Menteri Besar daripada Bersatu selain memiliki bilangan kerusi yang lebih besar berbanding rakan gabungannya di Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Hashim berkata, tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang berusaha memujuk UMNO untuk bersama parti itu serta Bersatu di dalam PN adalah atas dasar tanggungjawab mereka untuk melihat Melayu Islam bersatu.
Beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu kesalahan memandangkan situasi di dalam kerajaan sekarang sememangnya parti-parti Melayu Islam ini perlu bersatu.
Katanya, apabila parti-parti tersebut bersatu, suara Melayu Islam akan lebih kuat dan didengari khususnya di dalam Parlimen.
“Saya melihat ia adalah satu usaha yang baik bukan hendak runtuhkan kerajaan sebaliknya untuk mengajak ke arah perpaduan. Dahulu, Pas dan UMNO telah bersatu melalui Muafakat Nasional (MN) namun telah digagalkan.
“Pas tidak pernah menutup pintu perpaduan untuk UMNO dan tidak pernah akan berputus asa ke arah perpaduan ini. Meskipun usaha untuk mencapai perpaduan tampak sukar dalam tempoh terdekat ini, namun usaha ke arah itu sentiasa dilakukan.
“Kita dapati akar umbi dua parti ini khususnya UMNO sememangnya mahu ke arah perpaduan ini meskipun di peringkat atasan UMNO menolak. Usaha atau rundingan ke arah itu sentiasa terbuka,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan Gerakan memujuk Barisan Nasional (BN) supaya meninggalkan Kerajaan Perpaduan bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa dilakukan oleh beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Perkara itu didedahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan ahli parti pembangkang itu berjumpa dengannya untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN











