Saya tidak pernah berdendam dengan UMNO - Zahidi

Saya tidak pernah berdendam dengan UMNO – Zahidi

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH hampir dua tahun menyepi dalam dunia politik, bekas timbalan menteri, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengambil keputusan untuk aktif semula. Namun kali ini bukan bersama UMNO.

Ditanya mengapa pendirian kali ini berbeza dan tidak bersama dengan parti lama, Zahidi berkata, beliau mungkin tahu ‘perasaan’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, maka sebab itu beliau mengambil kekuatan baharu daripada PKR untuk membangunkan negeri Perlis.

Ikuti temubual lima soalan bersama wartawan NUR ASLINDA MOHD NASIR dengan bekas pemimpin UMNO tersebut.

UTUSAN: Kenapa ambil masa dua tahun untuk kembali aktif dalam politik, apa yang Datuk lakukan selepas dipecat UMNO?

ZAHIDI: Saya tidak buat apa pun, lebih kepada berniaga kecil-kecilan sahaja. Soal kena pecat itu, memang patut pun saya dipecat sebab saya memang sokong Ismail Sabri ketika itu. Presiden parti (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) pula ada kes mahkamah, kita pun faham, sebab itu saya menyokong Ismail Sabri.

Tetapi sekarang pun saya tidak mahu lawan UMNO sebab saya dulu pun sudah menjadi Ketua Bahagian parti itu begitu lama, dari 90 cawangan UMNO, saya naikkan kepada 120 cawangan UMNO, kita bekerja seperti dalam keluarga. Saya juga di antara yang lama dengan pemimpin lain termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim. Mana mungkin saya lawan orang yang dahulunya menyokong saya.

Dengan 14 pemimpin lain termasuk Shahidan yang menyokong kepimpinan Ismail Sabri pun saya sudah tidak lagi berhubung dengan mereka. Itu cerita lama.

Kenapa pilih PKR?

ZAHIDI: Perlis ini tidak ada sumber dan kita bergantung kepada pusat untuk memajukan negeri, jadi kita kena ada susun atur untuk menjadikan Perlis ini sebagai sebuah negeri yang membangun.

Apa yang kita rancang adalah Perlis perlu menyokong siapa Perdana Menteri kerana sebagai contoh, Perlis ini dengan dengan sempadan Siam. Wakil raja Siam ini ingin menjadikan Perlis sebagai hab bekalan diesel dan petrol ke seluruh Thailand, Laos, Myanmar..jadi, akan adalah sumber untuk Perlis. Bagaimanapun ia memerlukan persetujuan Perdana Menteri.

Dulu kita ada sumber dari simen dan ladang tebu, sekarang ladang tebu pun tidak ada. Begitu juga dengan kilang simen, produksi itu pun sudah tidak berapa ada. Jadi maknanya, Perlis perlu mencari sumber baharu dan

Senang cerita ia adalah parti Perdana Menteri, sebab itu saya memilih PKR untuk kembali aktif dalam politik.

Kenapa tidak kembali kepada UMNO?

ZAHIDI: Saya ini sudah menjadi Ketua Bahagian UMNO selama lima penggal, terlalu lama dan saya nampak parti politik berasaskan agama semakin tidak relevan, sebab itu saya cari parti lain yang lebih bersifat semua kaum, ataupun parti yang bersifat nak majukan negeri, tidak boleh berasaskan kaum dan agama semata-mata dan.

Sewaktu saya menjadi ahli UMNO, kedudukan saya ini adalah ahli yang dipecat. Maksudnya Presiden tidak bersetuju dan tidak minat dengan saya, jadi buat apa saya nak pergi balik seperti melukut di tepi gantang?

UTUSAN: Yakin mampu wujudkan beratus ranting PKR?

ZAHIDI: Rakyat Malaysia ini ada 32 juta, ahli UMNO baru ada dua juta, Pas ada sejuta lebih. Ramai masyarakat kita yang tidak menyertai mana-mana parti. Jadi, saya akan tarik mereka khususnya rakyat negeri Perlis untuk bersama dengan kita membangunkan negeri ini.

UTUSAN: Datuk ingin bertanding semula PRU-16?

ZAHIDI: Jika diberi peluang, saya akan bertanding, janji saya dapat membangunkan negeri Perlis dengan sebaiknya. Lagipun saya sudah sampai di tahap yang tinggi sehingga menjadi timbalan menteri. Jadi saya tidak ada masalah jika tidak bertanding sekali pun pada PRU16 nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×