KUALA LUMPUR: Gara-gara bergaduh berebut tempat meletak kereta, seorang warga emas didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki Oktober lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Ng Heng Cye, 68, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh yang merupakan bekas kontraktor itu perlu dipenjara selama sebulan.
Mengikut pertuduhan, Heng Cye didakwa telah memukul Leong Chee Liang, 42, sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan seperti mata, leher, tangan dan lututnya pada pukul 7.34 pagi, 25 Oktober lalu, di Jalan Perisa 1, Petaling di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri mencadangkan hukuman denda RM1,500 wajar dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam bela, Syazwani Mohd. Zawawi yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman minimum memandangkan lelaki itu merupakan seorang warga emas yang tidak bekerja.
“Tertuduh tidak bekerja dan merupakan seorang pesara kontraktor. Ini adalah kesalahan pertamanya. Dimohon agar mahkamah dapat mempertimbangkan hukuman yang minimum terhadap tertuduh memandangkan dia juga telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.- UTUSAN











