Wartawan Palestin lancar kempen #WomenJournalistsWartime

Wartawan Palestin lancar kempen #WomenJournalistsWartime

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kesatuan Wartawan Palestin mengumumkan pelancaran kempen media sosial dengan tanda pagar #WomenJournalistsWartime.

Kempen itu bertepatan dengan inisiatif global 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keganasan dihadapi kaum hawa di Palestin, khususnya wartawan wanita di bawah pendudukan tentera Israel.

Dalam satu kenyataan, kesatuan itu menyeru semua wartawan, organisasi hak wanita dan kumpulan hak asasi manusia untuk mengambil bahagian dalam kempen berkenaan dengan menggunakan tanda pagar #WomenJournalistsWartime merentasi pelbagai platform media sosial, termasuk Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kempen itu secara rasminya bermula pada pukul 12.00 tengah hari (waktu tempatan) semalam.

Kesatuan itu menegaskan kempen berkenaan bertujuan menonjolkan keganasan berterusan yang ditanggung oleh wanita Palestin khususnya wartawan. 

Lebih 25 wartawan wanita dilaporkan terbunuh sementara berpuluh-puluh lagi cedera atau ditangkap semasa serangan tentera Israel yang berterusan di Gaza.

Sementara itu, Amnesty International (Amnesty), menuduh Israel melakukan ‘genosid’ ke atas rakyat Palestin di Gaza, sejak perang bermula tahun lalu.

Ketua pertubuhan hak asasi berpangkalan di London itu, Agnes Callamard, turut menyifatkan laporan baharu terbitan agensinya itu dapat membangkitkan kesedaran masyarakat antarabangsa.

Penemuan itu, katanya, berdasarkan kenyataan melenyapkan manusia dan bersifat genosid oleh pegawai kerajaan serta tentera Israel, imej satelit yang mendokumentasikan kemusnahan, pemerhatian dan laporan di lapangan daripada penduduk Gaza.

“Israel melayan rakyat Palestin di Gaza seperti golongan yang tidak layak menikmati hak asasi manusia dan maruah, dengan menunjukkan niat untuk memusnahkan mereka secara fizikal dan berterusan selama beberapa bulan.

“Penemuan mengejutkan ini perlu menyedarkan masyarakat antarabangsa, ini adalah genosid. Ia mesti dihentikan sekarang,” katanya.

Kumpulan hak asasi itu turut menerbitkan laporan mengenai jenayah dilakukan Hamas, memetik 15 serangan udara di Gaza antara 7 Oktober 2023 dan 20 April lalu yang menyebabkan 334 orang awam, termasuk 141 kanak-kanak terbunuh.

Katanya, tiada bukti mana-mana serangan ini ditujukan kepada objektif ketenteraan, bahkan, laporan itu juga merujuk puluhan seruan pegawai dan tentera Israel untuk memusnahkan, menghancurkan, membakar atau menghapuskan Gaza.

Beliau turut menegaskan, ia bukan hanya mengenai kekebalan sistemik tetapi turut mencipta persekitaran yang mendorong tingkah laku sedemikian.

“Kerajaan perlu berhenti berpura-pura mereka tidak berkuasa untuk menamatkan pendudukan Israel, apartheid dan genosid di Gaza.

“Beberapa negara yang menyalurkan senjata kepada Israel, melanggar kewajipan mereka untuk mencegah genosid di bawah Konvensyen berkenaan dan berisiko menjadi rakan subahat,” katanya.

Laporan setebal 300 halaman terbitan Amnesty menunjukkan serangan langsung yang sengaja menyasarkan orang dan infrastruktur awam tanpa kehadiran Hamas atau sebarang objektif ketenteraan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×