CINTANYA pada dunia masakan tidak pernah padam sejak menjulang gelaran Masterchef Malaysia musim pertama pada 2011.
Satu persatu selok-belok dunia masakan diterokai Dr. Ezani Farhana Md. Monopo, 39. Lama-kelamaan menyuntik rasa seronok yang tidak pernah tergambarkan selama ini.
Sampai satu tahap, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pergigian, Universiti Adelaide, Australia ini nekad untuk mengembangkan lagi bakat masakannya dengan mengusahakan perniagaan kafe, pada 2019.
Serentak itu, beliau sanggup meninggalkan kerjaya selesa sebagai doktor gigi demi mengejar cinta dan impiannya itu.
Pengorbanan dan kerja kerasnya selama enam tahun membuahkan hasil apabila Pastribella Bake Shop kini memiliki dua cawangan iaitu di Tamarind Square, Cyberjaya dan di Wangsa Melawati.
“Saya sukakan kerjaya sebagai doktor gigi tetapi dalam masa sama saya mencari sesuatu yang boleh dilakukan secara jangka panjang dan lahir dari dalam hati.
“Di peringkat awal, memang rasa takut dengan keputusan yang dibuat tetapi saya tetap jalan terus sambil berdoa dan istikharah,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Memilih antara cita dan cinta bukan mudah tetapi Ezani akur dengan laluan yang dilorongkan Ilahi selepas kemenangannya dalam Masterchef Malaysia lagi.
Walaupun ia sesuatu yang diluar jangkaan, malah tidak pernah terlintas di kiran, namun telah membuka banyak peluang baharu dalam hidupnya.
Selain dapat mengusahakan perniagaan berasaskan makanan dan minuman (f&b), ibu dua anak perempuan ini turut bergelar hos program memasak, wanita serta pelbagai duta produk. ‘skema’ dan hanya mengikut sahaja landasan yang ditetapkan.
“Buat pertama kalinya dalam hidup, saya ‘melawan arus’ apabila menyertai rancangan realiti masakan yang bukan forte saya.
“Tanpa Masterchef Malaysia, saya mungkin masih merawat gigi pesakit di klinik dan kekal dalam laluan ini hingga bergelar pakar,” katanya sambil tersenyum.
Jelas Ezani, langkah ‘melawan arus’ bukan sahaja dapat memantapkan kemahiran dan daya saingnya, malah mencabar diri melakukan perkara di luar kelaziman.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat lari daripada kata-kata sinis segelintir masyarakat yang menyoal tindakannya.
“Antara komen yang sering diterima ialah sayangnya belajar pergigian tinggi-tinggi dan susah tetapi berhenti kerja pula.
“Biasanya saya hanya senyum sahaja kerana macam saya katakan tadi, semua ini aturan Allah dan rezeki saya ditakdirkan di sini,” katanya.
Walaupun sepenuh masa menguruskan perniagaan, tetapi Ezani masih memperbaharui lesen amalan pergigiannya, setiap tahun.
Ada ketikanya, beliau melakukan lokum bagi membantu rakan-rakan yang memerlukan bantuan.
Di sebalik kesibukannya, wanita ini aktif dalam program masakan dan yang terbaharu bersama pelakon, Nabila Huda.
“Selain itu, saya turut dijemput ke program pemakanan sihat dan saya manfaatkan ruang itu berkongsi ilmu-ilmu pergigian bersama penonton,” katanya.
SERBA SALAH DIPANGGIL CEF
Di sebalik gelaran Masterchef itu, beliau serba salah apabila dipanggil cef oleh masyarakat. Ezani sedar yang dirinya bukan tukang masak bertauliah dan hanya merupakan seorang peminat masakan.
Beliau turut tidak terkecuali daripada belenggu sindrom imposter gara-gara meragui kemampuan diri.
“Kadang kala hati berbisik boleh ke saya buat benda-benda ini sedangkan saya bukan cef pun. Sebelum orang mempertikaikan saya, perasaan itu sebenarnya sudah ada dalam diri, tetapi saya lekas-lekas fikir positif dan berusaha sehabis baik,” katanya.
Ujarnya, gelaran dimiliki bukan jalan pintas untuk berjaya dalam perniagaan makanan (F&B) dan masih menuntut kerja keras dalam pelbagai aspek.
Hal itu kerana, premisnya perlu bersaing dengan kafe-kafe yang tumbuh ibarat cendawan selepas pandemik Covid-19.
Namun, katanya, Pastribella Bake Shop memiliki kekuatan tersendiri terutama menu-menu yang segar dengan sentuhan istimewa termasuk sos buatan sendiri.
Bahkan, kebanyakan resipi itumerupakan hidangan kegemarannya dan keluarga.
“Mind set saya buka kafe ini adalah untuk menyajikan menu-menu enak dan kegemaran saya kepada pelanggan menu-menu enak dan kegemaran saya kepada pelanggan.
“Gelaran Masterchef bukanlah pelaris utama kafe kerana jika sajian tidak berkualiti dan tiada ‘rasa’, tentunya mustahil untuk bertahan selama enam tahun dalam industri,” katanya yang
mengusahakan perniagaan itu bersama sahabat karib.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berharap perniagaan itu dapat terus berkembang termasuk menambah lagi bilangan cawangan.
Sasarannya adalah untuk membuka sekurang-kurangnya satu cawangan setiap tiga tahun.
Dalam temubual itu, Ezani turut berkongsi pengalaman berharganya menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 2013.
Sepanjang kembara selama seminggu bagi rakaman program televisyen itu, hatinya tersentuh dan kagum melihat semangat juang rakyat Palestin yang tinggi.
“Orang luar melihat mereka dengan penuh rasa kasihan dan simpati, tetapi penduduknya sudah biasa dengan situasi penindasan itu.
“Apabila saya tanya pada budak-budak, jawapan mereka semua sama iaitu mahu bergelar huffaz dan syahid.
“Melihat kepada situasi perang yang berlarutan ini, saya seringn terdetik apakah nasib anak-anak yang saya pernah jumpa dulu, masihkah ada lagi atau sudah tiada,” katanya.
Paling istimewa, beliau turut berpeluang bertemu mata dengan beberapa anggota Briged Al Qassam, sosok yang amat digeruni Israel di markas pejuang itu.
“Muka mereka tertutup dengan badan yang dilengkapi senjata.
“Seperti kita tahu, golongan ini bukan calang-calang kerana merupakan hu az al-Quran, intelektual, tidak melakukan maksiat, sentiasa berpuasa, bertahajud dan bersedia untuk syahid bila-bila masa.
“Sukar saya gambarkan perasaan ketika itu tetapi saya sangat bersyukur kerana dapat berjumpa dengan ‘ahli syurga’,” katanya.
TRADISI BERCUTI
Bagi menghilangkan tekanan dan kepenatan bekerja, Ezani sekeluarga sering memilih bercuti ke luar negara.
Tambahan pula, suaminya, yang merupakan pakar obstetrik dan ginekologi (O&G), Dr. Muhammad Azrai Abu gemar ‘memburu’ tiket murah.
“Alhamdulillah, setiap tahun kami dimurahkan rezeki untuk melancong walaupun sebenarnya ia tidak dirancang.
“Suami pula memang selalu menghadiri persidangan di luar negara dan kesempatan itu kami gunakan untuk bercuti bersama anak-anak misalnya di Jepun dan Australia baru-baru ini,” katanya.
Sempena cuti persekolahanini, empat beranak ini akan menghabiskan masa ke Lombok, Indonesia.










