Israel masih langgar gencatan senjata, lancar 12 serangan di Lubnan

Israel masih langgar gencatan senjata, lancar 12 serangan di Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tentera Israel masih melanggar perjanjian gencatan senjata dengan melakukan 12 serangan baharu di wilayah Lubnan sejak ia dikuatkuasakan minggu lalu, menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) pada Rabu.

Serangan tersebut dikesan berlaku di daerah Tyre, Marjayoun dan Bent Jbeil di selatan Lubnan, selain di ibu negara Beirut.

Antara pelanggaran dilaporkan termasuk memusnahkan kediaman, meriam dan dron, tembakan serta penerbangan pesawat perang di ruang udara Lubnan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut NNA, dron Israel menyerang sebuah kenderaan di bandar Majdalzoun di daerah Tyre, selain turut melepaskan tembakan meriam ke dataran Marjayoun sebanyak tiga kali dalam tempoh 24 jam.

Israel turut melepaskan tembakan ke kawasan kediaman di Bent Jbeil dan memusnahkan beberapa rumah di bandar Khiyam serta melancarkan serangan meriam ke kawasan Kfarkela.

Menurut wartawan Anadolu, pesawat perang Israel dilihat terbang rendah di ruang udara Beirut serta kawasan selatan Lubnan.

Sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai minggu lalu, bertujuan menamatkan 14 bulan pertempuran antara tentera Israel dan kumpulan Hezbollah, Lubnan melaporkan 129 pelanggaran dilakukan oleh pasukan rejim.

Menurut kiraan Anadolu berdasarkan data Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 14 orang terkorban, manakala 13 lagi cedera akibat serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Di bawah perjanjian tersebut, Israel diwajibkan mengundurkan tenteranya ke selatan Garis Biru, iaitu sempadan de facto secara berperingkat, manakala tentera Lubnan perlu ditempatkan di selatan negara itu dalam tempoh maksimum 60 hari.

Sejak Oktober 2023, lebih 4,000 orang terbunuh dan lebih 16,500 lagi cedera dalam serangan Israel di Lubnan, sementara lebih 1 juta penduduk menjadi pelarian, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×