Takut disaman, peniaga akur harga SHMMP - Utusan Malaysia

Takut disaman, peniaga akur harga SHMMP

SEORANG pelanggan melihat ayam segar yang dijual dengan harga RM7.90 sekilogram dalam tinjauan di sebuah pasar raya di Kuchai Lama di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran akan terus mengenakan notis saman terhadap peniaga yang ingkar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2021 (SHMMP) membuatkan mereka akur.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, rata-rata peniaga menjual 12 barangan yang disenaraikan di bawah SHMMP termasuk ayam dan daging tempatan mengikut harga kawalan.

Di Pasar Selayang Baru, Selayang, Selangor, peniaga menjual ayam pada harga RM7.90 sekilogram manakala harga daging tempatan dijual RM28 dan RM34 sekilogram mengikut jenis seperti disyorkan SHMMP.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang peniaga, Wilda, 29, berkata, dia tiada pilihan kecuali mengikut harga ayam yang ditetapkan walaupun sebelumnya menjual dengan harga yang agak tinggi berbanding harga disyorkan.

“Sebelum ini mereka (penguat kuasa) ada turun dan edarkan kertas senarai harga kawalan kepada peniaga di pasar ini. Kalau hendak fikirkan rugi, memang ada tetapi itu harga kawalan, jadi memang perlu ikut,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohamad Khairil Anwar, 28, berkata, mereka terpaksa akur dengan hargaSHMMP walaupun tidak mendatangkan untung.

“Sekarang, jual RM34 (sekilogram) daging pun tak dapat apa kerana lembu mahal. Hanya boleh pusing modal sahaja,” katanya.

Di Melaka, Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, pematuhan peniaga di Pasar Besar Awam Melaka terhadap pelaksanaan SHMMP 2021 mencapai tahap 90 peratus.

Menurut beliau, 10 peratus lagi yang ingkar hanya berkaitan kegagalan peniaga mempamerkan harga barang kawalan menggunakan tag berwarna merah jambu.

Katanya, masih terdapat segelintir peniaga yang cuba memanipulasi peletakan harga siling dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kebanyakan peniaga mematuhi harga disyorkan melalui SHMMP.

Katanya, penguatkuasaan pemantauan harga kawalan dijalankan secara aktif terutama di sekitar Lembah Kelang, tetapi pihaknya masih lagi dalam proses mendidik peniaga.

“Bermula hari ini (semalam), kita memang sudah tidak bagi muka, tetapi semuanya masih di atas budi bicara. Budi bicara juga perlu ada batas kerana kita pentingkan pengguna.

“Kita ada jumpa kes yang jual lebih (daripada harga kawalan), tetapi masih lagi dalam budi bicara penguat kuasa untuk menasihat dan kita harap mereka tidak ambil kesempatan.

“Sehingga pukul 2 petang (semalam), hanya seorang peniaga di Miri, Sarawak dikenakan kompaun RM100 kerana tidak meletakkan tanda harga, tetapi kita syak mungkin kerana ada hasrat untuk naikkan harga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan KPDNHEP akan terus mengeluarkan notis saman terhadap mana-mana peniaga yang mengingkari skim SHMMP selepas memberi masa tiga hari untuk mereka menghabiskan stok lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×