KWAN: Kerajaan perlu cari alternatif lain - Utusan Malaysia

KWAN: Kerajaan perlu cari alternatif lain

Prof. Dr. Barjoyai Bardai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadangkan membenarkan pihak swasta dan individu berkemampuan supaya membiayai sendiri pembelian dan pengambilan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

Langkah tersebut sekali gus membantu mengelakkan kerajaan menggunakan wang mana-mana dana termasuk Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan sepatutnya mencari alternatif termasuk mengeluarkan bon bagi pembelian vaksin berbanding menggunakan dana masa depan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun kita tidak pasti adakah dana KWAN yang digunakan itu hanya berbentuk pinjaman atau ambilan terus daripada akaun berkenaan.

“Jadi buat masa sekarang kerajaan perlu memberi penjelasan dan sebab dana berkenaan diambil,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas tindakan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana untuk memperoleh vaksin dan perbelanjaan program imunisasi.

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM3 bilion untuk perolehan vaksin sebelum ditambah RM2 bilion lagi bulan lalu menerusi pakej Pemerkasa.

Dalam pada itu, Pensyarah Putra Business School, Dr. Abu Sufian Yaacob berkata, kerajaan boleh memperkenalkan semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan pendapatan negara.

“Kerajaan ada cara lain untuk mendapatkan dana bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan termasuk memperkenal semula GST.

“Persoalannya ialah berapa banyak dana yang kerajaan perlukan untuk membeli vaksin kerana setakat ini kita telahmembuat pinjaman sehingga bernilai RM75 bilion,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang dengan langkah kerajaan menggunakan dana KWAN bagi perolehan vaksin dan perbelanjaan yang berkaitan.

Katanya, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu juga memperlihatkan kerentanan kemampuan kerajaan dalam mengurus Covid-19.

Katanya, Belanjawan 2021 telah memperuntukkan sebanyak RM3 bilion bagi membeli vaksin dan kemudian ditambah menjadi RM5 bilion untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Tujuannya ialah untuk mempercepatkan sasaran memvaksinkan 80 peratus penduduk menjelang Disember dan bukannya Februari 2022 seperti yang diumumkan sebelum ini. Jadi mengapa secara tiba-tiba kerajaan sekarang memerlukan dana daripada KWAN?” soalnya dalam kenyataan semalam.

Namun setakat ini, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang.

Bahkan katanya, tidak ada ruang untuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×