KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang menyemak draf Rang Undang-Undang (RUU) untuk mewajibkan pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sentiasa berusaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira kepelbagaian latar belakang.
Kata beliau, Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk melanjutkan pendidikan wajib dari peringkat pendidikan rendah hingga menengah.
Jelasnya, cadangan tersebut sudah dibentang dan dipersetujui secara dasarnya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jun lalu.
“Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib ini akan melibatkan pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
“Draf Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) berkaitan Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari Pendidikan Rendah hingga Pendidikan Menengah telah disediakan oleh KPM dan kini dalam semakan AGC,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang memintanya menyatakan pendirian Kementerian berkenaan cadangan pakar mewajibkan pendidikan 12 tahun sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai langkah mengatasi keciciran pelajar.
Buat masa ini, dasar pendidikan wajib menetapkan setiap ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia dan mempunyai anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, mestilah mendaftarkannya di sekolah rendah.
Ibu bapa juga perlu memastikan anak yang didaftarkan akan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan rendah.
Pada 10 Ogos lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, negara berdepan masalah enrolmen di peringkat prasekolah dan menengah, bukan sekolah rendah.
“Enrolmen sekolah rendah kita tiada masalah, 99 peratus, kita mencapai sasaran sejagat sebab kita ada dasar pendidikan wajib untuk sekolah rendah,” katanya. – UTUSAN










