PETALING JAYA: Jumlah kehadiran penonton ke stadium bagi menyaksikan pasukan masing-masing di Liga Malaysia (Liga M) musim ini merosot berbanding beberapa musim lalu.
Situasi itu jelas dapat dilihat apabila setiap kali perlawanan berlangsung, ruang tempat duduk di stadium nampak kosong dan gagal menarik minat penyokong untuk hadir ke venue pertandingan.
Bagaimanapun, bagi pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Sabah FC, mereka masih boleh tersenyum kerana kehadiran penyokong masih ramai berbanding pasukan lain.
Berdasarkan statistik perlawanan ke-14 Liga Super, aksi Selangor menentang JDT di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menarik kehadiran penyokong teramai dengan 10,215 penonton.
Pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Piala FA musim ini juga menyaksikan kehadiran penyokong amat baik dengan 80,350 keeping tiket berjaya dijual yang menyaksikan JDT menang 6-1 ke atas Selangor.
Pun begitu, jika bercakap mengenai kehadiran penyokong bagi pasukan-pasukan lain, ia amat menyedihkan dengan purata antara 2,000 orang, malah ada juga perlawanan yang saksikan bawah 1,000 penonton,
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, penyokong sekarang hilang minat ke stadium kerana saingan Liga M sudah tidak menarik dan hilang serinya.
“Saya lihat nombor satu, saingan liga kita sudah tidak menarik. Tidak seperti dahulu, sekarang kita sudah tahu dari mula lagi pasukan mana yang akan menjadi juara dan menjulang piala.
“Kedua, saya lihat banyak masalah lam kalangan pasukan bertanding, tidak bayar gaji dan sebagainya. Jadi, penonton jadi rimas dan tidak beria-ria untuk tengok pasukan mereka di stadium
“Mereka mungkin fikir, buang masa sahaja berkorban untuk datang tengok bola di stadium kerana pasukan berdepan pelbagai isu. Itu antara sebab penonton tidak beri komitmen,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Zulakbal berkata, rekod kehadiran penonton ke stadium sangat penting kerana ia sebenarnya sedikit sebanyak turut membantu memenuhkan kantung kewangan pasukan.
“Apabila ada kehadiran penyokong, secara tidak langsung ‘merchandise’ pasukan juga akan terjual. Malah, penaja juga akan lihat perkara ini untuk menjalinkan kerjasama dengan pasukan,” katnya.
Dalam pada itu kata Zulakbal, beliau berharap langkah-langkah teratur dapat diambil untuk Menyusun semula penganjuran Liga M agar lebih kompetitif dan menarik semula penyokong ke stadium pada setiap hujung minggu. – UTUSAN











