KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia membuat langkah besar apabila menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya lima pingat emas sebagai tuan rumah pada temasya Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG).
Temasya berprestij edisi ke-10 itu sudah membuka tirainya bermula semalam sehingga 8 Disember ini yang akan berlangsung di sekitar negeri Selangor dan Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruen berkata, sasaran itu wajar ditetapkan susulan atlet kebangsaan pada tahap prestasi tertinggi ketika latihan pusat sebelum bermulanya kejohanan berkenaan.
Menurutnya, Malaysia sebagai tuan rumah, sasaran itu sangat realistik berikutan atlet negara beraksi di laman sendiri.
“Kami sudah membuat persiapan dengan latihan pusat. Jika hendak diikutkan sasaran lebih rendah sekiranya APDG berlangsung di Iran. Namun sebagai tuan rumah, kita naikkan sasaran, ditambah dengan keyakinan atlet kita.
“Sukan yang disasarkan adalah badminton, olahraga, boling dan karate untuk lima emas berkenaan,” kata Shin Ruen kepada pemberota selepas Majlis Perasmian APDG ke-10 yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini, hari ini.
Terdahulu, Malaysia mengambil alih sebagai penganjur temasya berkenaan selepas Iran terpaksa menarik diri berikutan pergolakan di negara itu.
24 negara termasuk Malaysia yang menyertai APDG ini dengan sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, olahraga, bola sepak, judo, taekwondo, catur, boling, ping pong dan gusti sekali gus melibatkan penyertaan seramai 1,130 atlet. – UTUSAN










