PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan kini sedang menunggu keputusan dari Johor untuk menjadi penganjur bersama pada Sukan SEA 2027 bagi acara sukan bola sepak.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, Johor menjadi negeri yang sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi penganjuran sukan bola sepak dengan fasiliti yang lengkap serta bertaraf antarabangsa.
“Johor sangat menarik kerana mereka mempunyai fasiliti stadium bola sepak bertaraf dunia. Ini merupakan kebanggaan negara. Johor boleh bekerjasama dengan KBS untuk menjadi hos bola sepak dalam penganjuran Sukan SEA 2027.
“Bagaimanapun, kita harus tunggu kenyataan dari Exco Johor. Mereka tunggu perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk menganjur sukan bola sepak pada temasya dwitahunan itu,” kata Hannah.
Terdahulu, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah mendedahkan impian negeri itu bagi acara bola sepak dan sedang menunggu perkenan daripada Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu, Hannah turut memaklumkan KBS akan mengadakan mesyuarat bersama negeri yang berhasrat untuk menjadi penganjur bersama KBS pada temasya sukan Asia Tenggara itu pada awal tahun depan.
Menurutnya, beliau mahu KBS menubuhkan jawatankuasa bersama bagi penganjuran termasya berkenaan bagi melancarkan persediaan Malaysia di Sukan SEA 2027.
“Mesyuarat akan diadakan pada awal tahun depan. Kita mahu mulakan awal bagi memastikan persediaan yang rapi kerana ianya membabitkan beberapa negeri.
“Kita akan berbincang dengan negeri yang berminat menjadi penganjur bersama serta menjadi hos untuk bergerak bersama pada Sukan SEA 2027,” ujarnya.
Selain Johor, Kuala Lumpur serta Sarawak dan Pulau Pinang menaruhkan minat untuk menjadi penganjur bersama bagi beberapa acara sukan yang akan dipertandingkan. – UTUSAN









