Penyelamat giat cari mangsa tanah runtuh di Sumatera Utara

Penyelamat giat cari mangsa tanah runtuh di Sumatera Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Anggota penyelamat masih giat mencari mangsa terselamat yang tertimbus dalam tiga kereta dan bas di kaki tebing, selepas banjir kilat serta tanah runtuh di wilayah Sumatera Utara mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut agensi bencana Indonesia, hujan lebat berterusan selama seminggu di wilayah itu mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di empat daerah berbeza.

Jumlah korban akibat kejadian tanah runtuh di jalan berbukit antara wilayah pada 27 November lalu, meningkat kepada sembilan orang, kata jurucakap polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi kepada Reuters hari ini.

Sekurang-kurangnya lima kereta, satu bas dan satu lori terperangkap di kaki tebing berikutan tanah runtuh.

Sehingga hari ini, polis dan penyelamat menumpukan pencarian orang hilang dalam tiga kereta dan sebuah bas yang tertimbus lumpur.

“Kami masih tidak tahu berapa ramai orang yang masih terperangkap,” kata Hadi.

Di daerah lain, tanah runtuh pada hujung minggu lalu mengorbankan 20 orang dan penyelamat giat mencari dua mangsa hilang sehingga esok.

Jurucakap agensi pencarian tempatan, Sariman Sitorus berkata, banjir kilat melanda bandar wilayah Medan hari ini, walaupun sudah surut di beberapa kawasan.

Bencana itu memaksa penangguhan undi untuk pilihan raya wilayah di beberapa kawasan di Medan pada Rabu lalu.

Cuaca ekstrem dijangka melanda Indonesia menjelang akhir 2024, berikutan fenomena La Nina yang meningkatkan jumlah hujan di seluruh kepulauan tropika, menurut agensi cuaca negara.– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN