SUKAN berbasikal kini menjadi antara yang cukup popular di negara kita. Malah aktiviti ini juga menjadi pilihan ramai selebriti. Berkongsi minat yang sama tentunya pelakon, Hanez Suraya.
Bagaimanapun niat untuk berkongsi hobinya ini dalam laman sosial menerima pandangan berbeza warganet.
Walaupun ada yang menyokong pilihannya untuk bersukan, namun ada pula yang menjadikan Hanez sebagai sasaran dalam melemparkan kemarahan kepada penunggang basikal lain. Tidak mahu memberi respons kepada keadaan itu, jelas pelakon ini dia tidak kisah dengan kecaman, namun tegas Hanez setiap perbuatan juga ada batas dan jangan keterlaluan.
Ada merungut, golongan selebriti kini menukar status aktiviti berbasikal kepada sukan untuk golongan kayangan, pandangan Hanez?
Tidaklah, tetapi saya tidak nafikan makin ramai yang menggemari sukan berbasikal terutamanya golongan selebriti. Macam saya, tidak pernah melihat sukan ini untuk golongan tertentu sahaja. Semua orang juga boleh menceburi sukan ini, namun saya akui harga basikal itu mungkin berbeza. Mengikut spesifikasi pilihan seorang penunggang lah. Ada aksesori yang mungkin memerlukan dia mengeluarkan sejumlah wang yang banyak. Namun semuanya tertakluk kepada pilihan, kalau hanya perlukan sebuah basikal untuk hobi, saya tidak fikir sukan ini untuk golongan tertentu sahaja.
Sukan ini cukup popular, mungkin ada antaranya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hanez juga dalam kelompok sekadar mengikut trend juga ke?
Berbasikal bagaikan satu terapi buat saya. Kalau tidak berbasikal dalam tempoh beberapa hari itu boleh buat saya teringat-ingat lah. Tetapi saya cukup serius dalam sukan ini, malah perjalanan paling jauh pernah saya buat juga 220KM. Ada kepuasan yang saya dapat melalui sukan ini. Pastinya bukan sekadar mahu mengikut trend atau terpengaruh sahaja.
Kejadian kemalangan yang membabitkan penunggang basikal selain ada di antaranya tidak mengikut peraturan jalan raya menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak. Komen Hanez?
Sebagai seorang selebriti memang saya sentiasa berjaga-jaga mengenai sikap saya ketika di luar sebab peluang untuk tular sangat tinggi. Jadi saya sentiasa memastikan mengikut peraturan yang betul ketika mahu melakukan aktiviti ini. Antaranya memastikan jalan yang sesuai selain tidak menghalang laluan serta mengenakan pakaian yang tidak berbahaya. Bila berada di jalan apa yang turut bermain dalam fikiran saya bagaimana golongan penunggang basikal ini mempunyai risiko paling tinggi. Jadi soal keselamatan adalah perkara utama, sebab itu saya juga selalu ingatkan rakan penunggang lain untuk sentiasa berwaspada.
Katanya ramai ambil kesempatan melemparkan kemarahan dalam laman sosial Hanez, sebab kejadian yang membabitkan penunggang basikal yang tidak bertanggungjawab.
Saya tidak nafikan memang ramai melemparkan kata-kata tidak baik pada ruangan komen, melalui pesanan lah. Mungkin itu cara mereka melepaskan kemarahan, namun sebagai pemilik akaun saya juga berhak mencorakkan Instagram saya. Orang ini memang saya akan sekat dan buang sahaja komen yang ditinggalkan. Tapi ada juga rakan-rakan saya yang terasa melalui komen tersebut dan bertindak membalas, namun saya terangkan usaha itu hanya sia-sia memandangkan orang seperti itu akan sentiasa wujud. Janganlah pukul rata semua orang, bukan semua menunggang dalam keadaan bahaya.
Lupakan basikal, kita berbalik kepada soal kerjaya lakonan. Nekad bersara ke ni?
Buat masa sekarang memang kerjaya lakonan saya tinggalkan jauh. Fokus sekarang adalah keluarga. Bersara tidak berani cakap dahulu, sebab kalau ada tawaran yang tidak memerlukan komitmen yang tinggi saya masih boleh terima. Cuma untuk meluangkan masa di set penggambaran sehingga meletakkan suami, anak di tempat kedua saya tidak akan lakukan.










