ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 669 sekolah di negeri ini diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi persediaan menghadapi bencana banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, daripada jumlah itu, 143 buah merupakan sekolah menengah.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah melakukan penyelarasan dan persediaan rapi, khususnya melibatkan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat bencana alam itu.
“JPN mencadangkan sekolah rendah yang dijadikan PPS dibuka dahulu jika berlaku banjir berbanding sekolah menengah terutamanya pusat peperiksaan SPM.
“Kita tidak mahu ganggu sekolah menengah terutamanya pusat peperiksaan SPM yang akan bermula 2 Disember ini, namun sekiranya bencana berlaku tidak dijangka dan terpaksa dibuka sebagai PPS, sudah ada produser operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ditemui selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, semalam.
Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh yang dilaporkan bermula 5 November lalu dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, aspek atur gerak pelajar terjejas banjir juga telah diselaraskan sejajar saranan Menteri Besar yang mahu ia diselaraskan lebih awal.
Bagi sekolah yang terjejas banjir, pihak jabatan akan memindahkan pelajar ke pusat peperiksaan lain.
“Agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan dikerahkan sekiranya memerlukan perkhidmatan trak, bas dan sebagainya supaya calon SPM terjejas banjir tidak ketinggalan mengambil peperiksaan,” katanya. – UTUSAN











