Kolaj dan AI: revolusi seni fotografi masa kini

Kolaj dan AI: revolusi seni fotografi masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, saya berpeluang mempamerkan salah satu karya saya di pameran The Artistic Reflection of Recorded Media Art in the Artificial Intelligence Era yang berlangsung di Pusat Persidangan FIAP, Yogyakarta.

Ia merupakan pengalaman luar biasa, bukan sahaja kerana lokasi dan komuniti seni yang penuh inspirasi, tetapi juga kerana pameran ini menonjolkan bagaimana teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada landskap seni fotografi.

Fotografi seperti seni lain, sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi. Dari filem ke digital, kini kita berada di zaman AI yang membuka ruang baharu dalam dunia seni visual.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam konteks ini, teknik kolaj muncul sebagai medium berkuasa untuk menyampaikan naratif kompleks dan pelbagai dimensi.

Pameran ini jelas memperlihatkan bagaimana fotografi, tradisi dan teknologi bersatu untuk mencipta karya yang menginspirasi.

Kolaj dalam fotografi adalah proses menggabungkan pelbagai imej atau elemen visual untuk menghasilkan satu karya seni yang menyampaikan mesej yang kaya dan berlapis.

Teknik ini sering digunakan untuk menggambarkan idea abstrak atau menyusun naratif yang kompleks.

Berbanding dahulu di mana kolaj dilakukan secara manual, namun teknologi moden, terutama AI, telah mengubah cara kolaj dicipta, menjadikannya lebih efisien dan dinamik.

Karya seni saya, yang memaparkan sambutan Hari Moyang oleh masyarakat Mah Meri, adalah contoh bagaimana teknik kolaj boleh melampaui batas dokumentari tradisional. Karya ini membawa elemen visual ke arah yang lebih abstrak dan simbolik.

Melalui lapisan imej yang bertindih, warna-warna hidup dan tekstur dinamik, ia mencerminkan hubungan kompleks antara dunia fizikal, spiritual dan warisan budaya Mah Meri.

Kecerdasan buatan memainkan peranan penting dalam fotografi kontemporari, terutama dalam penghasilan kolaj seperti ini.

Dengan kemampuan AI untuk menganalisis imej secara automatik, jurufoto dapat mengenal pasti elemen-elemen penting dengan lebih mudah dan mengintegrasikannya dalam satu karya yang bersatu.

Proses ini bukan sahaja mempercepatkan kerja penyuntingan, tetapi juga membuka ruang eksplorasi kreatif yang lebih luas.

Elemen-elemen tradisional dapat diolah semula dan digabungkan dengan estetik moden, menghasilkan karya yang bukan sahaja indah secara visual, tetapi membawa makna mendalam tentang kesinambungan budaya dalam dunia yang semakin moden.

Dalam fotografi kolaj, setiap elemen membawa mesej tersendiri. Karya yang menggambarkan Hari Moyang, misalnya, menyatukan imej topeng, penari dan suasana ritual dalam satu komposisi yang harmoni.

Ia menangkap hubungan spiritual antara manusia dan nenek moyang mereka, sambil menonjolkan keindahan emosi yang hadir dalam upacara tersebut.

Melalui teknik ini, kolaj bukan sekadar menceritakan kisah, tetapi juga menghidupkan suasana, memberikan pengalaman visual yang mendalam kepada penonton.

Seorang seniman terkenal yang banyak bereksperimen dengan kolaj, David Hockney berkata, seni harus dapat menggerakkan perasaan seseorang.

Dalam konteks fotografi, kolaj berfungsi bukan sahaja sebagai ekspresi visual tetapi sebagai alat komunikasi yang kuat.

Ia membawa penonton ke dunia lebih luas, menghubungkan mereka dengan budaya dan tradisi yang mungkin tidak pernah dialami sebelumnya.

Melalui pameran seperti ini, kita dapat melihat bagaimana fotografi terus berkembang dan menyesuaikan diri, sekali gus menjadikan teknik kolaj dan bantuan AI sebagai perantara untuk membawa tradisi dan seni ke tahap yang lebih tinggi.

Kolaj, dengan kemampuannya untuk menggabungkan masa lalu, kini dan masa depan dalam satu bingkai, menjadi bukti kekuatan seni dalam menyatukan pelbagai lapisan kehidupan.

-Penulis merupakan bekas jurufoto Utusan Malaysia dan kini sebagai Koordinator Bidang di Jabatan Fotomedia Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif – KPSK, UiTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini