Episod keganasan di Lubnan berakhir

Episod keganasan di Lubnan berakhir

SEORANG pemandu mengibarkan bendera Hezbollah ketika menyertai perarakan di pinggir bandar selatan Beirut.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Masyarakat antarabangsa berharap gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dan Hezbollah mampu menamatkan keganasan dan peperangan kejam yang berlanjutan lebih 13 bulan di Lubnan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pertempuran merentasi sempadan Lubnan-Israel akan berakhir sambil menambah, usaha itu bakal menghentikan pertempuran secara kekal di kawasan berkenaan.

BERUNDUR DARI SEMPADAN

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menyerang jika Hezbollah melanggar mana-mana bahagian perjanjian yang dipersetujui.

Pertempuran meningkat pada akhir September apabila Israel meningkatkan pengeboman dan melancarkan pencerobohan darat terhad yang mencetus konflik paling dahsyat di Lubnan, mengorbankan lebih 3,823 orang.

Gencatan senjata sudah bermula semalaman seperti dirancang, walaupun serangan kedua-dua pihak direkodkan sehingga sejurus sebelum perjanjian itu berkuat kuasa.

Israel mengeluarkan arahan pemindahan untuk beberapa bahagian di Beirut empat jam sebelum tarikh akhir gencatan senjata, sementara Hezbollah juga menembak dron beberapa jam sebelum pertempuran terhenti.

Di bawah perjanjian yang diuruskan AS, akan ada tempoh 60 hari di mana Israel perlu beransur-ansur mengundurkan tenteranya dari selatan Lubnan apabila tentera kerajaan menguasai semula kawasan yang kini dipegang oleh Hezbollah.

Dijangka pejuang dan senjata Hezbollah akan dikeluarkan dari kawasan selatan Sungai Litani, sempadan yang ditubuhkan pada penghujung perang terakhir Israel dan kumpulan itu pada 2006.

“Pengumuman ini akan mewujudkan syarat untuk memulihkan ketenangan berpanjangan dan membolehkan penduduk di kedua-dua negara pulang dengan selamat ke rumah mereka,” kata kenyataan bersama AS dan Perancis yang terlibat memantau pelaksanaan perjanjian itu.

TUMPU ANCAMAN IRAN DAN HAMAS

Israel menuntut hak untuk bertindak balas dengan tindakan ketenteraan jika Hezbollah melanggar gencatan senjata, malah Biden turut mengulangi bahawa rejim itu boleh mengekalkan hak untuk mempertahankan diri selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Jika Hezbollah melanggar perjanjian dan cuba mempersenjatai diri, kami akan menyerang. Jika ia cuba membina semula infrastruktur pengganas berhampiran sempadan, kami akan menyerang,” kata Netanyahu.

Netanyahu juga berkata, menamatkan pertempuran menentang Hezbollah di Lubnan, akan membolehkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi tumpuan kepada ‘ancaman Iran’.

Hezbollah di Lubnan telah lama dilihat sebagai barisan pertahanan pertama Iran.

Tetapi dengan kebanyakan senjata peluru berpandu kumpulan itu kini musnah, keseimbangan ketenteraan didakwa lebih memihak kepada rejim Israel berbanding sekutu Iran.

Malah, Netanyahu mendakwa menamatkan pertempuran di Lubnan juga akan mengasingkan dan meningkatkan tekanan ke atas Hamas.

“Sejak hari kedua perang, Hamas bergantung kepada Hezbollah untuk berperang di sisinya. Dengan Hezbollah keluar dari permusuhan ini, Hamas kini dibiarkan sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai gencatan senjata di Gaza, Biden berkata, kerajaannya sedang bekerjasama dengan perunding lain termasuk Turkiye, Mesir dan Qatar untuk melakukan satu lagi usaha mencapai perjanjian keamanan di wilayah terkepung itu.

Menamatkan konflik di Lubnan juga boleh membebaskan lebih banyak tentera Israel untuk berkhidmat di Gaza, konflik yang tidak menunjukkan tanda-tanda berakhir.

TAK MAMPU ‘HADAP’ DUA PERANG

Tambah Netanyahu, usaha menamatkan pertempuran di Lubnan juga akan memberi ruang kepada IDF untuk menambah semula bekalan senjata, stok peluru dan anggota tenteranya.

Pengulas Israel sebelum ini menyatakan kebimbangan tentera rejim sebenarnya tidak bersedia atau dilengkapi dengan senjata yang cukup untuk menghadapi dua peperangan di dua lokasi dalam tempoh masa yang panjang.

Biden mengesahkan bahawa tiada tentera AS akan dikerahkan untuk menguruskan gencatan senjata tersebut.

Peperangan itu telah menghancurkan Lubnan, di mana, lebih 3,823 orang terbunuh dan 15,859 cedera dengan satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal di kawasan di mana Hezbollah memegang tampuk pemerintahan.

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata itu, memanggilnya sebagai ‘langkah asas ke arah memulihkan ketenangan dan kestabilan’ di negara itu dan membenarkan rakyat pulang ke tanah air.

Tetapi beliau juga menuntut Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian itu, berundur dari tapak yang didudukinya pada masa ini dan menghormati resolusi Pertubuhan-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditetapkan sebelum ini pada penghujung perang terakhir Hezbollah-Israel pada 2006.

Bank Dunia menganggarkan Lubnan berdepan kerugian ekonomi dan kerosakan berjumlah lebih AS$8.5 bilion (RM37.79 bilion) dengan proses pemulihan akan mengambil masa yang panjang dan tidak diketahui bagaimana ia akan dibiayai.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×