Israel gempur selatan Beirut sebelum gencatan senjata dicapai

Israel gempur selatan Beirut sebelum gencatan senjata dicapai

KEPULAN asap dilihat selepas serangan udara Israel ke atas kawasan kejiranan Chouaifet di selatan Beirut, Lubnan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Jet pejuang Israel melancarkan serangan udara besar-besaran awal pagi ini di selatan ibu negara Lubnan, termasuk kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, hanya beberapa jam sebelum gencatan senjata dengan Hezbollah berkuat kuasa.

Menurut laporan wartawan Anadolu, serangan itu menyasarkan kawasan pinggir selatan Beirut, dengan salah satu serangan mengakibatkan letupan besar berhampiran lapangan terbang tersebut.

Serangan itu berlaku selepas tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk di kawasan Laylaki dan Choueifat al-Amrousieh, mendakwa kawasan tersebut berhampiran kemudahan milik Hezbollah.

Ini merupakan amaran pemindahan kedua dalam tempoh sejam, selepas amaran sama dikeluarkan kepada penduduk Borj El Brajneh dan Ghobeiry.

Dalam perkembangan lain, tentera Israel memaklumkan pihaknya memintas dua dron, satu berhampiran Bukit Golan di timur dan satu lagi di Laut Merah.

“Selepas penggera dikeluarkan pada pukul 11.22 malam dan 11.23 malam berhubung pencerobohan dron musuh berhampiran Golan utara, tentera udara ]memintas sebuah dron yang datang dari arah timur.

“Beberapa ketika kemudian, satu lagi dron yang menghampiri dari Laut Merah ke arah wilayah Israel turut dipintas,” kata kenyataan itu.

Kesemua insiden ini berlaku kurang tiga jam sebelum perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah, yang dikuatkuasakan dalam situasi ketegangan memuncak di rantau tersebut.

Terdahulu, Kabinet keselamatan Israel meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan melalui undian 10-1.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebelum itu mengumumkan kedua-dua pihak, Lubnan dan Israel bersetuju dengan gencatan senjata yang dijadualkan berkuat kuasa pada pukul 4 pagi waktu tempatan.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, lebih 3,760 orang terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan, manakala hampir 15,700 cedera dan lebih sejuta penduduk terpaksa berpindah sejak Oktober tahun lalu.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×