BAITULMUQADDIS: Kabinet keselamatan Israel mengundi untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata di Lubnan semalam, yang berpotensi menamatkan lebih setahun pertempuran rentas sempadan dengan Hezbollah dan perang skala penuh yang mengorbankan ribuan nyawa.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Kabinet meluluskan perjanjian itu dengan majoriti 10 berbanding satu dan berterima kasih kepada Amerika Syarikat (AS) terhadap penglibatannya.
Menurut Presiden AS, Joe Biden, perjanjian itu dirancang untuk menghentikan permusuhan secara kekal antara kedua-dua pihak.
Dalam ucapan dari White House, Biden memaklumkan sudah bercakap dengan pemimpin Israel dan Lubnan, dengan kedua-dua negara menerima cadangan Washington untuk menamatkan konflik dahsyat itu.
Gencatan senjata selama 60 hari itu bertujuan untuk melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701, dengan harapan ia boleh menjadi asas kepada gencatan senjata.
Resolusi 1701 diterima pakai untuk menamatkan perang selama 34 hari antara Israel dan Lubnan pada 2006, dan berjaya mengekalkan ketenangan di kawasan itu selama hampir dua dekad.
Resolusi tersebut menetapkan bahawa Israel mesti menarik semua tenteranya dari selatan Lubnan, dan hanya tentera Lubnan serta pasukan pengaman PBB yang dibenarkan untuk berada di selatan sungai Litani.
Beberapa jam sebelum pengundian, Israel masih rakus melancarkan serangan terhadap Beirut, menyasarkan tengah bandar itu – bukan kawasan dikuasai Hezbollah – buat kali pertama sejak konflik.
Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam serangan di pusat Beirut, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.- CNN










