'Kuantiti besar' senjata toksik di Syria membimbangkan

‘Kuantiti besar’ senjata toksik di Syria membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Badan pemerhati kimia dunia memberi amaran tentang jurang besar dalam pengisytiharan simpanan senjata kimia di Syria berikutan kebimbangan wujud sejumlah besar agen peperangan beracun yang sudah diharamkan.

Syria bersetuju pada 2013 untuk menyertai Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), sejurus selepas serangan gas beracun yang didakwa membunuh lebih 1,400 orang berhampiran Damsyik.

“Walaupun lebih sedekad usaha intensif, dokumen senjata kimia Republik Arab Syria masih tidak boleh ditutup,” kata Ketua Pengarah Badan Pemerhati, Fernando Arias kepada perwakilan pada mesyuarat tahunan OPCW.

Memuatkan artikel berkaitan…

Badan pemantau global yang berpangkalan di The Hague sebelum ini menuduh rejim Presiden Syria, Bashar Assad meneruskan serangan terhadap orang awam dengan senjata kimia semasa perang saudara kejam negara Asia Barat itu.

“Sejak 2014, Sekretariat OPCW telah melaporkan sejumlah 26 isu tertunggak di mana tujuh daripadanya telah dipenuhi berhubung dengan simpanan senjata kimia di Syria.

“Bahan selebihnya yang digunakan bagi 19 lagi isu tertunggak mencetus kebimbangan serius kerana ia melibatkan sejumlah besar agen perang kimia dan senjata kimia yang berpotensi tidak diisytiharkan atau tidak disahkan,” kata Arias kepada perwakilan itu.

Hak mengundi OPCW Syria telah digantung pada 2021, teguran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, berikutan serangan gas beracun ke atas orang awam pada 2017.

Tahun lalu badan pemerhati itu menyalahkan Syria atas serangan klorin 2018 yang membunuh 43 orang, dalam laporan yang ditunggu-tunggu mengenai kes yang mencetuskan ketegangan antara Damsyik dan Barat.

Damsyik menafikan dakwaan itu dan menegaskan ia telah menyerahkan simpanannya.

Perang saudara Syria meletus pada 2011 selepas penindasan kerajaan terhadap demonstrasi aman penduduk bertukar menjadi konflik maut hingga menarik kuasa asing dan pejuang jihad global.

Peperangan itu membunuh lebih 500,000 orang dengan berjuta-juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan infrastruktur serta industri negara itu kini rosak teruk.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×