BEIRUT: Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 47 nyawa di timur Lubnan semalam, ketika pengantara Amerika Syarikat (AS) berusaha mengadakan rundingan mencapai gencatan senjata.
Pengantara AS, Amos Hochstein yang sebelum ini mendakwa gencatan senjata ‘hampir tercapai’ semasa lawatan ke Lubnan Selasa lalu, bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz.
Bagaimanapun, tiada kenyataan segera dikeluarkan selepas pertemuan tersebut.
Seorang pegawai kanan Lubnan memberitahu Reuters bahawa Beirut meminta perubahan pada cadangan gencatan senjata AS, termasuk memastikan pengunduran pasukan Israel dari selatan Lubnan dilakukan dengan cepat.
Usaha diplomatik itu adalah percubaan paling serius setakat ini untuk menamatkan konflik antara Israel dan Hezbollah.
Gabenor wilayah Baalbek-Hermel di Lubnan, Bachir Khodr melaporkan sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dan 22 cedera akibat serangan udara Israel di kawasan Baalbek.
Kawasan itu, bersempadan dengan Syria, merupakan kubu kuat kumpulan Syiah Hezbollah.
Di Beirut, serangan udara Israel menggegarkan kawasan selatan dengan sekitar 12 serangan, menjadikannya paling sengit setakat ini.
Penduduk di kawasan tersebut sebahagian besarnya sudah melarikan diri sejak Israel melancarkan operasi terhadap Hezbollah pada September lalu.
Tentera Israel mendakwa, serangan itu disasarkan kepada infrastruktur Hezbollah, dengan langkah pencegahan diambil untuk mengurangkan kemudaratan kepada orang awam, termasuk memberi amaran awal.- REUTERS











