KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah lama menerima aduan di peringkat akar umbi membabitkan veteran PKR, Hassan Abdul Karim, namun tidak pernah membawa ia ke Lembaga Disiplin parti secara rasmi sebelum ini.
Menegaskan perkara itu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, beliau bertindak kali ini kerana Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tidak selesa dengan tindakan Hasan yang membuat sering melontarkan pandangan secara terbuka.
“Sebelum ini ada banyak aduan yang kita terima dari akar umbi, sememangnya lebih dari satu. Malah, Pak Hassan pun saya sudah tegur banyak kali tetapi perkara itu berterusan. Kali ini, MPP merasakan dia agak keterlaluan dan MPP tidak berasa selesa dengan perkara itu.
“Maka sebab itu, kali ini saya membuat aduan secara rasmi dan hantar secara rasmi kepada Lembaga Disiplin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Fuziah dilaporkan berkata, terdapat aduan daripada ahli MPP terhadap Hassan yang juga merupakan wakil rakyat Pasir Gudang, menyebabkannya dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti, semalam.
Bagaimanapun, Fuziah turut berkata, beliau tidak terlibat dalam sebarang urusan berkaitan dengan Lembaga Disiplin yang dipengerusikan Datin Dr. Tan Yee Kew.
Namun, Fuziah sebelum ini telah menyatakan kebimbangan apabila Hassan tidak menggunakan saluran dalaman untuk melontarkan pandangan dan sepatutnya veteran PKR itu memanfaatkan mekanisme dalam parti sebelum menyiarkan pandangan secara terbuka.
“Saya memang tidak terlibat, ini semua urusan Lembaga Disiplin parti. Pak Hassan akan menjalani proses yang sama, pihak Lembaga Disiplin akan mendengar kemudian siasat dan dipanggil.
“Selepas itu, keputusan Lembaga Disiplin itu akan dibentang kepada MPP yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keputusan yang dibuat itu nanti adalah berdasarkan saranan Lembaga Disiplin,” ujarnya.
Sebelum ini, Hassan mengkritik kerajaan dalam penganugerahan rangkaian 5G kedua negara kepada U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) dan tindakan itu dilihat menghina Yang di-Pertuan Agong.
Beliau juga turut menyuarakan rasa hairan apabila ucapan Belanjawan 2025 menyentuh soalan penahanan di rumah.
Perkembangan ini ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang mencari jalan perundangan untuk menguatkuasakan apa yang dikatakan ‘adendum’ yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah. – UTUSAN










