BADRUL HISHAM SHAHARIN bukanlah individu yang perlu diperkenalkan lagi khususnya dalam gelanggang politik dan aktivis negara. Lebih dikenali sebagai Che’gu Bard, beliau kini melalui fasa baharu dalam karier politiknya apabila dipilih mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Port Dickson.
Mungkin posisi tersebut dianggap kecil oleh banyak pihak namun kehadiran beliau cukup untuk memberikan kekuatan baharu setidak-tidaknya buat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan jurugambar, MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN, anak kelahiran Rembau itu memberitahu tugas yang dipikul itu tidak akan menyekat kelantangannya namun mengakui kini beliau perlu lebih matang dalam disiplin organisasi Bersatu.
Tidak ketinggalan, dalam wawancara hampir satu jam di pejabatnya itu, beliau terbuka menyatakan keinginan mencabar Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
KEMBALI DALAM GELANGGANG POLITIK
Berorganisasi dalam politik bukanlah asing buat saya yang merupakan watak yang bersama menubuhkan PKR khususnya di Negeri Sembilan iaitu seawal tahun 1999, saya pernah memegang jawatan ahli majlis pimpinan tertinggi, berada dalam Exco Pemuda Parti Keadilan Nasional di peringkat Pusat, pernah menyandang Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan malah pernah menjadi ketua bahagian di Rembau.
Tetapi saya berjiwa aktivis dan kerana itu menubuhkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kerana dalam politik pun itulah diri saya, aktif dalam gerakan belia, aktif dalam Pesaka, Persatuan Seni Budaya Seremban, jadi saya tidak boleh asingkan diri dalam gerakan aktivisme, budaya dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan).
Pada 2016 saya dipecat daripada PKR, selepas itu walaupun aktif mengeluarkan kenyataan politik tetapi saya tiada organisasi sehinggalah pada 2020 menyertai Bersatu. Bagaimanapun melalui fasa PRU, pilihan raya negeri (PRN), saya dapat rasakan ada sesuatu yang kosong yang perlu dilakukan oleh Bersatu yang mempunyai potensi besar tetapi sekiranya saya buat teguran dan melaung saya akhirnya dilihat menjadi pembangkang dalam parti.
Lalu dua tahun lepas saya memegang jawatan dalam Cawangan Bersatu Telok Kemang. Kemudian menuju pemilihan Bersatu baru-baru ini saya melihat parti ini daripada segi kepemimpinan, hala tuju dan pengisian ia perlu diisi lantas saya buat keputusan dan hasil cadangan rakan-rakan juga supaya bertanding sebagai ketua bahagian Port Dickson yang dikosongkan.
AKAN LEBIH DISIPLIN
Bezanya kini saya kena disiplin, sudah tentu disiplin dalam organisasi, sejarah politik selama 20 tahun bersama parti sebelum ini mengajar saya bahawa adanya organisasi dan disiplin parti. Dengan kematangan itulah insya-Allah saya boleh melakar dan melaksanakan sesuatu yang lebih besar.
Saya harapkan perkara itu, supaya lebih disiplin dalam organisasi, saya mungkin tidak bersetuju dalam sesuatu perkara namun apabila sesuatu keputusan telah dibuat oleh organisasi, walaupun saya tidak bersetuju. Apabila berada di luar, saya wajib untuk mempertahankan keputusan itu dan kepentingan parti harus berada di hadapan tanpa kompromi dalam hal integriti selain khidmat masyarakat.
Mengatakan saya tidak akan lantang dan akan ‘perlahan’ itu pertimbangan yang salah, insya-Allah Bersatu Port Dickson akan lantang namun dalam bentuk yang lebih terarah, bukan hanya kritikan tetapi cadangan penyelesaian juga akan dikeluarkan.
TIDAK DIPILIH MPT BERSATU KERANA KELANTANGAN
Saya tidak menafikan itu pertimbangan mereka (perwakilan), ada peringkat yang tidak mahu melihat kelantangan dan sebagainya. Saya tidak menafikan mungkin itu antara faktornya, tetapi bagi saya juga tidak boleh terlalu hipokrit untuk mengubah seratus peratus jiwa saya semata-mata untuk menempatkan diri dalam MPT (majlis pimpinan tertinggi).
Bagi saya keputusan tersebut adalah kegagalan diri untuk memperkenalkan perjuangan, apa yang saya bawa itu kepada kebanyakan perwakilan. Saya tidak melihat peranan di MPT itu kerana akhirnya jika saya menang di MPT, tetapi saya tidak ada base (sokongan asas) jadi nanti ia seperti mengulang kembali peranan saya yang digelar ‘hantu raya tidak bertuan’ dan ‘loose cannon’ (mulut celopar).
Sekarang adalah cabaran buat saya, pada usia 46 tahun saya rasakan bahawa, inilah masa untuk buktikan sesuatu, bukan kepada orang lain tetapi juga kepada diri sendiri, saya boleh bina Bersatu Port Dickson juga di Negeri Sembilan.
BERSATU DI PORT DICKSON
Saya masuk ke Port Dickson dengan tema ‘Bersatu Rumah Kita’, saya ambil pendekatan kali ini supaya Bersatu menjadi penyatu kepada orang di sini selepas melihat banyak isu dihadapi masyarakat, isu nelayan, banjir kilat yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan.
Bersatu Port Dickson ini merupakan bahagian yang kuat malah Bersatu di Negeri Sembilan juga bermula di sini jadi mengapa Bersatu tidak boleh bangkit di Port Dickson sedangkan di sinilah rumahnya.
Alhamdulillah pada pemilihan lalu bahagian ini mencatatkan kehadiran perwakilan yang tinggi iaitu seramai 171 orang lalu mengenepikan anggapan bahawa Bersatu ini parti kecil dan tiada masa depan.
Ramai yang kata kem Che’gu Bard yang menang, itu tidak betul kerana jawatankuasa kali ini merupakan campuran yang baik cuma memerlukan penyusunan dan pendekatan yang lebih fokus.
Oleh itu kami telah wujudkan empat jabatan yang penting dalam Bersatu Port Dickson iaitu latihan dan pengkaderan, jabatan komunikasi, jabatan pilihan raya dan jabatan khidmat masyarakat.
BANTU BERSATU NEGERI SEMBILAN
Tanpa berselindung tumpuan saya memang Negeri Sembilan, pada pilihan raya yang lepas seharusnya kita menang dan mentadbir Negeri Sembilan.
KEPEMIMPINAN MUDA BERSATU NEGERI SEMBILAN
Pada pilihan raya yang lepas, kita harus akui Bersatu atau PN ini hanya menumpang gelombang semata-mata dengan calon-calon yang masyarakat mempertikaikan daripada segi usia, tetapi kita tidak boleh menghukum kerana ia berlaku atas banyak faktor.
Namun kerana itu jugalah saya memilih untuk masuk ke dalam struktur ini kerana sangat terkilan. Saya hanya ‘budak gantung bendera’ pada ketika itu dan ia juga menyedarkan saya bahawa dalam mana-mana organisasi parti politik, jika kita bukan siapa-siapa kita hanya dapat ‘menjerit’ di luar sahaja.
Tetapi apabila masuk ke dalam struktur itu, ia memberikan peranan, kita perlu memberikan perubahan, Bersatu Negeri Sembilan perlu dilihat sebagai juara dan bersuara setiap kali masalah berlaku, itulah cara kita menuju ke hadapan.
Menerusi kepemimpinan muda yang ada seperti Mohamad Hanifah Abu Baker di Rasah, Danni Rais di Jelebu dan Mohd. Nazree Mohd. Yunus di Rembau, kami ada cukup potensi untuk pilihan raya akan datang jika pemimpin-pemimpin muda ini digilap dan diletakkan pada tempat yang betul.
KEHADIRAN CHE’GU BARD KUATKAN BERSATU NEGERI SEMBILAN?
Saya bukan ahli sihir atau ahli silap mata hebat yang apabila masuk keadaan terus berubah, saya memerlukan pasukan, saya serahkan kepada parti untuk menggunakan semaksimum yang mungkin apa yang ada pada saya tetapi sangat pasti adalah saya tidak boleh melakukannya sendiri.
Saya percaya dalam pasukan ini, kami sudah ada ramuan, cuma cara ‘masakkannya’ yang perlu betul, siapa yang patut letak di mana, siapa yang perlu dahulu dan siapa yang kemudian. Ramuan sudah betul untuk kita pergi pada pilihan raya, cuma cara dan kaedah untuk diberikan kepada rakyat harus diperbaiki.
CHE’ GUBARD LAWAN AMINUDDIN HARUN
Tanpa berselindung, kami mahu satu Parlimen dan empat DUN (Dewan Undangan Negeri) buat Bersatu di Port Dickson, oleh itu kami aktifkan Jabatan Pilihan Raya bermula dari sekarang. Untuk tujuan itu juga, saya mahu Bersatu Port Dickson mempunyai 48 buah cawangan berbanding 14 cawangan yang ada ketika ini.
Kalau parti memutuskan saya (sebagai calon) saya tidak menolak, saya sangat menanti saat tersebut kerana bagi saya apabila seseorang Menteri Besar kalah dalam pilihan raya, negeri tersebut juga akan tumbang. Ia bukan misi yang mudah tetapi bukan sahaja mustahil.
Bagaimanapun, dalam disilipin parti ia mengajar saya iaitu siapakah yang terbaik untuk memberikan kemenangan kepada parti. Jika bukan saya dan jika ada seorang yang kita jumpa dalam perjalanan dua tiga tahun ini dan dia jauh lebih layak daripada saya, dia harus ditempatkan bagi mewakili parti.
KERUSI CAMPURAN SUKAR UNTUK MENANG
Betul Port Dickson merupakan kerusi campuran tetapi bagi saya adakah masyarakat mempunyai feel good factor kepada kerajaan hari ini? Bagi saya Bersatu tanpa kompromi sebagai sebuah parti bumiputera dan Islam perlu juga untuk melindungi semua orang yang berada dalam Malaysia termasuk dalam konteks Port Dickson yang mempunyai kampung Cina, Melayu dan ada masyarakat India yang sangat signifikan.
Tetapi kami juga tidak mahu menjadi seperti Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kalah atau menang atau apa isyarat yang dihantar oleh orang Port Dickson, mereka tetap hantar MIC. Bagi kami, siapa yang layak, kalau ada yang lebih mampu dan memenangkan Port Dickson, kita letak orang itu.
Malahan jika ada orang luar parti, contohnya jika ada seorang ahli korporat muda, peguam, seorang ustaz atau aktivis masyarakat yang kita lihat layak untuk duduk di Parlimen Port Dickson, kita perlu beri, tidak ada orang harus bergerak dalam konteks pilihan raya sebagai Bersatu atau yang lain-lain sebaliknya bergerak atas PN sebagai payung yang besar.
PN DI NEGERI SEMBILAN
Seperti yang disebut, kami sudah ada ramuannya, PN hanya perlukan 19 buah kerusi DUN, secara peribadi saya melihat PN boleh menuju 21 buah kerusi cuma perlu orang, pendekatan dan strategi yang betul. DUN Gemencheh, Kota, Seri Menanti dan Juasseh PN hanya kalah sedikit. Kekalahan itu adalah kesalahan parti yang meletakkan beberapa faktor yang tidak sesuai seperti calon dan kempen.
Ia kekal akan menjadi kesalahan kalau kami tidak berbuat apa-apa. Saya percaya kalau kita mengaktifkan Jabatan Pilihan Raya di Negeri Sembilan bermula pada awal, kami boleh ambil Negeri Sembilan yang merupakan sebuah negeri yang sangat berpotensi daripada segi ekonomi dan adat budayanya.-UTUSAN










