KDNK suku 4 dijangka positif

KDNK suku 4 dijangka positif

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia berkembang pada 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 dan dijangka memberikan momentum yang positif pada suku keempat 2024, kata pakar ekonomi. 

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, perkembangan yang positif itu sejajar anggaran awal antara 5.1 hingga 5.3 peratus.

“Saya melihat perkembangan ekonomi yang lebih kukuh. Perkembangan kali ini juga didorong oleh banyak faktor disokong oleh prestasi pelaburan dalam sektor utama antaranya, perkhidmatan dan pembuatan.

“Selain itu, permintaan eksport yang tinggi untuk produk tempatan serta dasar kerajaan yang rangsang pelaburan bertambah baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Umi Hamidaton, ekonomi Malaysia setakat ini menunjukkan daya ketahanan yang tinggi dalam diversifikasi perdagangan sedia ada, dasar fiskal dan monetari negara untuk menyokong makroekonomi negara. 

“Namun strategi proaktif dalam jangka panjang dan pendek diperlukan untuk memastikan momentum positif ini dapat diteruskan untuk suku tahun keempat.

“Saya menjangkakan prestasi suku keempat tahun ini pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, unjuran ekonomi Malaysia sejajar dengan anggaran awal. 

“Laluan pertumbuhannya adalah baik kerana ia terus berada di atas 5.0 peratus walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding suku sebelumnya. 

“Kami juga menyedari bahawa terdapat penurunan dalam perbelanjaan pengguna daripada pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua kepada 4.8 peratus pada suku ketiga, sementara eksport bersih menyusut sebanyak 8.8 peratus selepas pengembangan 3.4 peratus pada suku sebelumnya disebabkan oleh peningkatan import barangan perantaraan dan modal.

“Walaupun begitu, pertumbuhan keseluruhan masih banyak dipacu oleh aktiviti pelaburan dalam kalangan sektor swasta dan awam yang menyaksikan pertumbuhannya berkembang pada kadar dua digit. Ini juga disertai dengan pertumbuhan dalam penggunaan awam. 

“Nampaknya pengguna mungkin telah lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka walaupun pasaran buruh masih berada dalam keadaan pekerjaan penuh,” katanya. 

Namun begitu, jelas Mohd. Afzanizam, pelaburan telah benar-benar mempercepatkan kadar pertumbuhannya dan akan terus menyokong pertumbuhan negara pada masa akan datang. 

“Saya merasakan ekonomi sepatutnya dapat mencatatkan pertumbuhan sekitar 5.0 peratus tahun ini, yang merupakan pertumbuhan yang baik,” katanya.

Mohd. Afzanizam berkata, bagi suku keempat, beliau menjangkakan pertumbuhan sekitar 4.5 hingga 5.0 peratus berdasarkan penurunan dalam perbelanjaan pengguna, manakala pelaburan dan sektor luar akan terus memberikan sokongan kepada ekonomi,” katanya. 

Jumaat lalu, dalam sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan. 

Mohd. Uzir berkata, aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan (M&E), manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar. 

Dalam sektor luaran, eksport terus mengukuh berikutan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global. 

Sementara itu, import juga berkembang pada kadar yang lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan. 

Dari segi penawaran, kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan, khususnya peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport. 

Walau bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyelenggaraan dalam sektor perlombongan.

Menurut beliau, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan menjadi sederhana kepada 1.8 peratus berbanding suku kedua 2024, 2.9 peratus, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus bagi tiga suku pertama tahun 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×