Halal: Deqteh terima tempahan pelbagai agensi, syarikat

Halal: Deqteh terima tempahan pelbagai agensi, syarikat

ZULFAIDAH Ahmad menunjukkan produk cincau dan minuman cincau yang mendapat sambutan tinggi selepas disahkan halal oleh Jakim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha cincau dan minuman cincau jenama Deqteh menerima tempahan daripada pelbagai agensi dan syarikat untuk pelbagai majlis selepas mendapat pengiktirafan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 15 Januari tahun ini.

Usahawan, Zulfaidah Ahmad, 36, berkata, sebelum ini, dia hanya mampu menjual 800 bekas cincau dengan pendapatan RM4,000 sebulan di Kampung Simat, Johol, Negeri Sembilan.

“Saya memohon pensijilan halal kerana berhasrat mengembangkan perniagaan, meraih keyakinan pembeli dan mahu memastikan cincau dijual daripada usahawan Islam.

“Memandangkan saya sudah mempunyai sijil halal, pembeli lebih yakin dan semakin ramai malah, perniagaan saya juga semakin berkembang sehingga mampu mencecah RM6,000 sebulan berbanding RM4,000 sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Zulfaidah berkata, dia mengusahakan perniagaan bersama suami dan pekerja sambilan di kawasan sekitar Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan Seremban.

“Untuk perancangan akan datang, saya ingin meluaskan perniagaan ke luar dari Negeri Sembilan dengan cara menambah ejen,” katanya kini mempunyai lapan orang ejen. 

Dia menjual dengan harga cincau RM8 untuk 700 gram, manakala harga air cincau RM5 sebotol 450 milliliter (ml).

Zulfaidah yang meletakkan produk di stesen minyak serta kedai runcit sekitar itu memaklumkan,  cincau tersebut dimasak dari daun cincau asli membuatkan air cincau mereka lebih lembut, kenyal dan segar.

“Air cincau kami tiada pengawet, tiada pewarna dan tiada juga perasa tiruan. Kami menghasilkan rasa cincau sebenar lebih sihat dan kurang manis,” katanya yang turut berniaga di pasar tani dan pasar malam. 

Dia turut menasihatkan mana-mana usahawan agar memohon pensijilan halal supaya produk boleh berkembang

“Apabila memperoleh sijil halal, produk boleh menembusi, pasar raya dan sekiranya produk jenis produk yang tahan lama, boleh memasuki pasaran luar negara.

“Selain itu, perniagaan juga cepat berkembang kerana pengguna lebih yakin untuk membeli produk yang mempunyai sijil halal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×