Hikmah-Nya

Hikmah-Nya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Wan awok ke mano? Mano telepong awok? Tak bawa telepong awok ke?” Berjuntaian frasa Nizam dengan loghatnya.

Aku yang sibuk fokus pada kerja sejak tadi, mula meraba-raba saku aku. Tetapi tiada telefon dalam saku aku itu. Aku mulai risau. Mana telefon aku? Muka aku mula terasa panas dan merah padam.

“Alamak, mana pula aku letak handphone aku ni?” Makin risau aku jadinya. Makin kebingungan. Tadi rasanya, telefon itu ada .

Aku mula tidak keruan. Aku macam burung layang-layang yang melayang tidak tentu haluan. Hilang telefon, macam hilang orang tersayang, lagaknya.

“Ayah awak telepong sayo, dia cuba telepong awok dari awal pagi, dah banyak kali, mintok awok telepong dia balik.”
Nizam berpesan pada aku sambil bergerak masuk ke biliknya, di hujung pejabat.

Aku bertambah risau. “Ada apa-apa yang tidak kena ke di Kampung Cantek?” Jantung aku mula berdegup kencang. Wajah ayah yang sudah tua, bersilih ganti bermain di mata.

Kali terakhir aku balik ke kampung melihat ayah adalah pada minggu lalu. Ketika itu, ayah nampak sihat-sihat sahaja. Kenapa dengan ayah?

Nizam satu-satunya kawan aku di pejabat itu. Orang pertama yang aku kenal sejak aku mula bertugas di tempat kerja baru aku. Baik orangnya, suka menolong dan mendidik.

Sebenarnya dialah bossku tetapi tidak sekali pun berlagak atau mendabik kuasanya pada aku.

Dia tahu aku bukan seorang yang malas. Aku juga bukan culas pada kerja. Aku hormat padanya. Walaupun dia ketua aku di tempat kerja, kami makan, minum, berbual bersama malahan bermain futsal bersama. Aku memang rapat dengan dia, sudah macam adik-beradik aku.

Pun begitu, walaupun kami rapat, masa bekerja aku tetap hormat di sebagai bosku. Tidak pula aku mahu mengambil kesempatan untuk bermalas-malas atau datang lewat ke pejabat.

“Mana handphone aku ini?” Semakin risau aku. Tercicir di mana pula?

“Mungkin dalam kereta tapi kereta di tingkat bawah, aku pula di tingkat 23.” Aku berteka-teki sendiri. Mataku mula berpinar-pinar.

Kebetulan lif pejabat rosak! Sudah seminggu. Seminggu ini, kami semua naik turun tangga. Penat. Lutut pun sudah mula rasa sakit. Maklumlah selalu tekan butang saja. – “Tingkat 23…pintu dibuka..” Suara merdu wanita lif kini menghantui gegendang telinga aku.

Aku mula menuruni anak-anak tangga yang bagaikan pendakian gunung Kinabalu. Selalunya orang kata, bab turun tangga ini mudah sahaja. Tidak meletihkan. Sekejap saja.

Namun, hari itu aku merasakan turun tangga itu macam mendaki pula. Semakin berat terasa kaki aku melangkah meredah anak-anak tangga. Malas aku membilang tingkat. Jadi, bertambah penat lagi.

Tiba-tiba aku mendengar jeritan seorang wanita – “Tolong! Tolong!”

Siapa pula yang meminta tolong? Aku merasa cuak. Aku mula menuruni tangga dengan pantas. Adakalanya aku melompat sampaikan aku jatuh tergolek.

“Aduh! Berdarah rupa-rupanya siku aku ini.” Aku mula rasa hendak pitam melihat darah dari siku aku. Tidak pernah darah keluar banyak sebegitu dari tubuh aku. Namun aku tidak menghiraukannya.

Aku gagahkan juga berlari sepantas mungkin menuju ke arah bunyi jeritan itu. Jeritan yang seperti kesakitan itu semakin dekat di telinga aku.

“Adik tolong akak!” Aku terkejut melihat seorang wanita Cina muda yang kelihatan terbaring meniarap. Terjatuhkah dia tadi?

Dia menghulurkan tangan kanannya yang berdarah kepadaku. Alangkah terkejutnya aku, apabila aku memusingkan badannya, wanita itu sarat mengandung.

Dia meraung kesakitan, air matanya berjuraian. Peliknya tiada seorang pun masa itu, untuk aku meminta bantuan. Aku betul-betul jadi panik.

Dia mengenggam tangan aku dengan erat. Terasa cengkamannya kuat. Mungkin tidak tahan menanggung rasa sakit. Aku merasa begitu kasihan. Wanita ini mungkin sebaya kakak aku di kampung.

“Adik…. akak macam dah hendak bersalin ini.”

“Adik , tolong panggil ambulans,” dia merayu pada aku.

Aku cuba membuang panik dan cuba untuk bertenang. Tetapi telefon bimbitku tiada. Macam mana mahu minta tolong dalam keadaan begini? Tingkat bawah, masih banyak lagi anak tangga yang perlu dituruni.

“Akak, saya pun tiada telefon. Saya turun ini hendak ambil telefon dalam kereta. Macam mana saya hendak panggil ambulans,” dengan suara yang bergetar aku membalas.

“Cu…cu ..cuba cari handphone dalam beg itu,” sambil menangis dia men menunjukkan beg tangannya yang terpelanting tidak jauh daripada kami.

“Ok..ok ok..” Aku membalas sambil melompat macam kangaru.

“Akaaaak apa passwordnya?” Aku menjerit meminta kata laluan sambil ke meluru ke arahnya. Tiada jawapan daripadanya. Rupa-rupanya dia sudah tidak sedarkan diri. Pengsan.

Aku bertambah tidak keruan. Pantas saja tanganku menekan-nekan nombor kata laluan di telefon bimbit itu beberapa kali mengikut kata hati aku sahaja. Semuanya gagal.

“Eh, bukankah boleh guna cap jari?” Suara hati kecil ku mula menendang otak aku.

Sepantas kilat aku capai tangan kanannya, meletakkan telefon bimbit itu dengan cap ibu jari kanannya. Nasib baik boleh buka! Segera aku dial 999, minta bantuan ambulans.

“Encik, ada kecemasan, ada orang nak bersalin di sini, tingkat 15 bangunan sebe… sebelah… sebelah..Tak! Tak! Bangunan Utama Pejabat MARAX, Jalan Imbi, ikut laluan tangga ye, lif rosak, apa-apa call nombor ini,” laju aku bercakap dan kemudian memutuskan taliannya dengan penuh gelabah.

Kakak Cina itu masih tidak sedarkan diri. Nasib baik aku terpandang ada botol air kecil dalam beg tangannya. Aku merenjis air ke arah wajahnya. Dia tersedar.

Pandangan matanya bagaikan menebuk-nebuk jantung aku. Tanpa aku sedar, air mata aku mula menitik bagaikan paip rosak. Kasihan dan simpati aku kian menggunung ketika itu terhadap wanita di hadapan aku yang sedang bertarung dengan kesakitan itu.

Aku bertekad. Dia mesti diselamatkan walau dengan apa cara pun. Anak di dalam perut itu juga.

“Akak maaf ye, saya guna ibu jari akak untuk buka password ye.” Aku mohon maaf padanya. Lirikan matanya bagaikan memberi isyarat tidak mengapa.
Dia mula ingin mengatakan sesuatu kepada aku dengan berbisik. Aku pun melabuhkan cuping aku ke arahnya.

“Adik call, husband saya, ada save hubby.” Begitu lesu bisikannya dan dia semakin longlai. Aku bingkas mencari nama hubby dalam telefon itu dan jelaskan keadaannya.

Sambil aku bercakap dengan suaminya, tiba-tiba aku mendengar raungan kesakitan, aku mula melihat air mengalir di celah kakinya.

Rupa-rupanya air ketubannya yang mengalir bagaikan lautan merah.

Ini kali pertama aku menyaksikannya dalam hidup aku. Selalunya menonton adegan seperti ini di televisyen saja. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Aku jadi buntu ketika itu. Sambil mengharapkan ada keajaiban berlaku.

Aku mula mendengar bunyi siren ambulans dari kejauhan. Ya, semakin lama, semakin dekat bunyi itu. Aku agak, bantuan telah sampai. Betul agakkan aku. Tidak lama selepas itu, tiga orang menghampiri kami dengan nafas yang turun naik. Mungkin lelah mendaki anak tangga. Aku menarif nafas lega.

Salah seorangnya doktor wanita. Dengan pantas mereka mengusung kakak Cina itu ke ambulans. Aku menuruti perlahan-lahan dari belakang.

Sampai di bawah, sempat kakak itu, melambai-lambai tangannya dengan lemah pada aku.

Aku terjengket-jengket melihat wanita itu, sambil membalas lambaikannya sehingga dia hilang daripada pandangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×