Soigne, Allen, Hanwoo halal eksklusif daripada Korea

Soigne, Allen, Plan New bawa MiGyeongSan Hanwoo halal eksklusif daripada Korea

YUK JEON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka, Malaysia negara pertama mendapat daging lembu MiGyeongSan Hanwoo halal yang hanya boleh didapati dari Korea Selatan.

Korea Selatan hanya mengeksport daging Hanwoo ke tiga negara iaitu Hong Kong; Macau, China dan Kemboja, manakala Malaysia negara pertama mendapat MiGyeongSan Hanwoo halal.

Saya berpeluang mencuba hidangan istimewa dua chef dari negara itu, yang mendapat pengiktirafan bintang Michelin, Allen Suh (pemilik Restoran Allen) dan Jun Lee (pemilik restoran Soigne) menikmati salah satu daging premium, MiGyeongSan Hanwoo dalam acara kulinari eksklusif di Fritz, Troika Sky Dining, baru-baru ini.

Dengan tiket kemasukan RM980 per individu, acara itu yang mendapat sokongan daripada Hanwoo Board Korea, manakala dagingnya dibawa ahli perniagaan Korea, chef Olivia Lee Lepinoy menerusi syarikatnya, Plan New, menyaksikan MiGyeongSan Hanwoo buat julung kalinya diperkenal dari luar Korea.

Keistimewaan MiGyeongSan Hanwoo adalah corak lemak dipanggil ‘marbling’ apabila dimakan, teksturnya terasa cair di dalam mulut kerana ototnya berlemak, sekali gus menambah rasa jus seperti mentega.

Ini kerana dagingnya datang daripada lembu betina belum pernah melahirkan anak atau susunya belum pernah diperah. Ini menghasilkan daging sangat lembut dengan bijirin dan tekstur lebih halus berbanding daging lembu lebih tua.

Saya dihidangkan tiga juadah pertama sebagai pembuka selera oleh chef Allen iaitu Hanwoo Tartare Yuk Hoe, Braised Hanwoo Jjim dan Cold Cut Nang Chae.

Hanwoo Tartare dibuat daripada daging mentah dan dimasak sederhana supaya memberi rasa lebih daging dengan beberapa perasa seperti kicap, minyak bijan, minyak ikan. bawang putih dan daun bawang yang dipanggang. Meskipun rasa sedikit ‘hanyir’, namun tetap memberi rasa istimewa.

Braise Hanwoo Jjim, dagingnya diambil daripada bahagian rusuk lembu dicampur cendawan shitake bakar, kacang soya, dihidang bersama kuah rebusan sedikit pekat dan dijadikan jeli. Juadah ini cair dimakan dan tidak mempunyai bau hanyir.

Lebih menambat selera Cold Cut Nang Chae, hidang daging sejuk dimasak dalam suhu rendah kemudian disejukkan. Ia kelihatan kemas kerana dibalut krep tepung soba dan memberi rasa ‘harmoni’ pada setiap suapan.

Saya dihidangkan Yuk Jeon, hirisan daging separuh masak bersalut adunan telur, digoreng atas kuali, salad, ketumbar dan daun kuchai.

Saya suka kerana dagingnya lembut dan rasa berasap, walaupun nampak kemerahan yang lazimnya bukan kegemaran saya.

INFO:
 Daging MiGyeongSan Hanwoo boleh didapati di Culina, Four Seasons Shoppes, Kuala Lumpur
 Instagram:
@chefolivia
@restaurant_allen
@soigneseoul

Allen menyajikan saya pencuci mulut daripada produk tenusu, Crème fraîche dan buah anggur. Mereka yang gemar juadah masam, mungkin ini salah satu kegemaran anda.

Chef Jun Lee dari Soigne menghidangkan saya Surf & Turf Mul Hoe, makanan tradisi Korea terdiri daripada makanan laut mentah dalam sos sejuk. Kuahnya rasa masam dengan kombinasi tekstur rangup daripada buah epal, asparagus putih, kacang macadamia.

Beliau menarik perhatian menerusi hidangan Hanwoo Tang Ban, nasi gulung dihidang bersama kuah pekat panas, campuran barli dan hirisan daging. Juadah ini mempunyai rasa berlemak dan sedikit tawar, tidak berbau hanyir, tidak pedas tetapi tetap memikat selera.

Namun, saya lebih gemar jika Hanwoo Tang Ban rasa sedikit pedas supaya tidak terasa muak jika memakannya dalam kuantiti banyak.

Saya berpeluang merasai sendiri nasi dicampur pucuk kering memberi rasa pahit dan manis sekali gus melengkapi rasa daging lembu. Makanan ini dihidang dengan tiga hidangan sampingan iaitu kacang pecan, ikan, kerang pes kacang soya, timun dan paprika.

Jun Lee dan Allen menyajikan lagi K-BBQ Hanwoo in Two Ways with Banchan . Jun Lee menghidang Striploin, manakala Allen Marinated Oysterblade.

Kedua-duanya menambat selera kerana dimasak sederhana dan cair di mulut. Dari aspek penampilan, mungkin Marinated Oysterblade lebih menyerlah kerana diperap, dibakar dan warnanya sedikit gelap.

Jika anda ingin merasai keunikan dan keunggulan MiGyeongSan Hanwoo tanpa perlu memper­timbang kosnya, kini ia boleh didapati di Culina, Four Seasons Shoppes, Kuala Lumpur dengan daging Hanwoo dan beberapa produk premium Korea lain yang jumlahnya terhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×