TEHERAN: Iran mengumumkan rancangan membuka klinik khas untuk ‘mendidik’ wanita yang melanggar undang-undang bertudung berikutan arahan mewajibkan mereka menutup aurat di tempat awam.
Pembukaan klinik berkenaan diumumkan oleh Ketua Jabatan Wanita dan Keluarga di Ibu Pejabat Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat Teheran, Mehri Talebi Darestani.
Golongan wanita di Iran dan kumpulan hak asasi manusia meluahkan kemarahan terhadap pengumuman itu.
Wartawan Iran yang berpangkalan di United Kingdom (UK) dan menjadi sasaran percubaan membunuh tahun lalu, menyifatkan langkah tersebut sebagai memalukan.
“Idea untuk menubuhkan klinik bagi ‘mendidik’ wanita yang tidak bertudung adalah menakutkan, di mana orang ramai dipisahkan daripada masyarakat semata-mata kerana tidak mematuhi ideologi yang memerintah,” katanya.
Peguam hak asasi manusia Iran, Hossein Raeesi menyifatkan idea tersebut tidak Islamik dan bercanggah dengan undang-undang negara itu.
Beliau juga bimbang kerana langkah itu dibuat Jabatan Wanita dan Keluarga di Ibu Pejabat Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, yang berada di bawah kuasa pemimpin tertinggi, Ali Khamenei.
Berita itu tersebar dalam kalangan kumpulan protes ‘Wanita, Kehidupan, Kebebasan’ dan pelajar wanita, menyebabkan ketakutan serta penentangan.
Pengumuman mengenai pembukaan klinik itu dibuat selepas media negara melaporkan seorang pelajar universiti ditangkap selepas menanggalkan pakaian di Teheran, dilaporkan sebagai protes terhadap serangan pengawal keselamatan kampus kerana melanggar undang-undang hijab.
Kumpulan hak asasi manusia juga bimbang dengan tindakan tegas terhadap wanita yang dianggap melanggar kod pakaian wajib Iran, dengan mendakwa terdapat peningkatan tangkapan, kehilangan dan penutupan perniagaan yang dikaitkan pelanggaran undang-undang hijab.- THE GUARDIAN











