Kediaman yang satu ini sekali pandang sudah nampak konsep minimalisnya dengan susun atur yang sangat ringkas.
Namun, ada sesuatu yang membuatkan saya tertarik dengan rumah kampung gaya moden ini.
Kontra warna yang digunakan berjaya membangkitkan suasana ruang walaupun aksesori dan perabot bersifat minimum.
Pemiliknya, Widad Saffin menggunakan padanan warna sesuai sebagai asas kepada kediaman berkeluasan lebih 2,000 kaki persegi ini.
Permainan warna yang terdiri daripada rona asas beige dan coklat diberi kontra rona hitam pada beberapa bahagian untuk memberi suasana yang lebih hidup dan tidak flat.
“Konsep rumah saya adalah moden minimalis dengan pilihan perabot yang disuai padan.
“Saya memilih konsep ini kerana ia sangat ringkas dan tidak memerlukan perabot dan perincian yang banyak.
“Hasilnya, rumah bukan sahaja cantik tetapi tenang dan selesa,” katanya kepada Seri.

Sentuhan kelainan
Tambah suri hati kepada Ahmad Afiq Mohamad ini, pemilihan warna yang tidak terlalu banyak dan sesuai amat penting untuk mencipta suasana minimalis.
“Bagi ruang tamu, saya mengehadkan penggunaan tiga warna sahaja iaitu beige, coklat dan hitam.
“Selalunya, ramai yang memilih warna-warna pastel sahaja tetapi saya memilih untuk memasukkan rona hitam bagi mewujudkan kontra unik selain menaikkan lagi seri ruang tersebut.
“Contohnya, kerusi meja makan berwarna hitam dipadankan bersama pasu dan aksesori dinding rona sama,” jelasnya.
Sementara itu, hitam dan putih pula menjadi warna asas yang melatari pada bahagian dapur.

Kabinet serba putih dipadankan dengan mozek lantai bercorak hitam dan putih, lantas memberikan suasana lapang dan selesa untuk aktiviti memasak.
Elemen pepohon hijau juga diletakkan di beberapa sudut untuk memberikan kontra yang alami.
Selain itu, suai padan perabot yang dipilih dengan teliti turut membantu mencipta suasana yang unik dan peribadi di kediaman.
“Sebagai contoh di ruang makan, saya letak lampu gantung rotan sebagai titik fokus yang boleh dilihat dari pintu masuk sekali gus menambah keunikan dan menyerikan ruang tersebut.
“Kedua-dua elemen ini dapat membuatkan rumah jadi lebih cantik dan selesa,” katanya yang aktif berkongsi idea dekorasi di Instagram Rumah_doubles.










