MELAKA: Terminal Kapal Persiar Antarabangsa Melaka (MICT) yang dijangka memulakan operasi pada suku ketiga 2026 mampu menerima kehadiran kapal-kapal persiar terbesar dunia seperti Oasis Of The Seas di bahagian dermaga luar.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, dermaga bahagian dalam dapat menampung kapal seperti Freedom of the Seas dengan had maksimum seramai 5,875 penumpang termasuk anak kapal.
Ujarnya, setakat ini pembinaan terminal berbentuk L itu mencapai tahap 50 peratus.
“Rekaan jeti buat masa ini berbentuk L dan mampu memuatkan empat kapal persiar berlabuh pada satu-satu masa.
“Jika terdapat permintaan pada masa depan, rekaan akan diubah kepada bentuk T bagi membolehkan lebih banyak ruang untuk kapal persiar berlabuh di Melaka.
“Setelah terminal ini beroperasi sepenuhnya, kapal persiar terbesar dunia antaranya Oasis Of The Seas dengan kapasiti maksimum 8,880 penumpang juga boleh berlabuh di bahagian dermaga luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek MICT di sini, semalam.
Tambah Ab. Rauf, pembersihan tapak sedang giat dijalankan bagi tujuan pembinaan gudang dan kawasan pemunggahan sementara untuk meletak bahan binaan terminal.
Menurutnya, MICT Sdn. Bhd. juga sedang membuat persiapan menjalankan beberapa ujian dan kajian diperlukan termasuk analisis dinamik cerucuk.
“Saya yakin sebaik sahaja projek ini siap sepenuhnya ia akan menjadi sebuah terminal kapal persiar terbesar di Asia Tenggara. Terminal ini bakal memainkan peranan penting dalam industri pengangkutan laut di Melaka.
“Saya juga yakin projek ini berpotensi meningkatkan pertambahan pelancong dari serata dunia yang masuk menerusi persinggahan kapal mewah di samping memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di persada antarabangsa,” ujarnya.











