1,540 polis terlibat jenayah, salah laku - Utusan Malaysia

1,540 polis terlibat jenayah, salah laku

ZAMRI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendedahkan seramai 1,540 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dengan pelbagai kesalahan termasuk jenayah dan rasuah sepanjang tahun lalu.

Jumlah tersebut melibatkan 210 pegawai kanan dan 1,330 polis berpangkat rendah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,394 terlibat dengan salah laku seperti menyalahgunakan kuasa, terlibat dalam masalah disiplin dan melakukan kelakuan yang melanggar prosedur polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, kesalahan membabitkan 1,202 anggota dan 192 pegawai itu turut dikesan seperti berhibur di premis-premis hiburan yang tidak dibenarkan dalam pasukan.

“Ada juga mereka yang dikesan mengarahkan orang bawahan melakukan kerja di luar skop penugasan polis demi kepentingan peribadi. Itu juga termasuk dalam kesalahan salah laku.

“Selain itu, seramai 18 anggota dan empat pegawai kanan yang didapati terlibat dengan kes jenayah bagi tahun 2020. Antaranya pemerasan terhadap orang awam dan ugutan jenayah,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Zamri memberitahu, bagi kesalahan dadah, seramai 77 pegawai dan anggota direkodkan untuk tempoh sama melibatkan 74 anggota dan empat pegawai kanan.

Jelasnya, JIPS juga mengenal pasti lapan anggota didapati terlibat dengan menerima suapan atau rasuah.

“Seramai 28 anggota dan 11 pegawai juga dikesan melakukan kesalahan syariah, contohnya berpoligami tanpa kebenaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, bagi tahun 2019, seramai 1,503 orang membabitkan 1,393 anggota dan 110 pegawai didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Ujar beliau, jumlah itu terdiri daripada kesalahan salah laku iaitu 1,358; dadah (65); syariah (39); jenayah (29) dan rasuah (12).

“Pada tahun 2018 pula, kesalahan sama melibatkan sebanyak 1,247 anggota dan 122 pegawai kanan,” katanya.

“JIPS serius dalam menangani masalah-masalah yang dilakukan pegawai dan anggota bagi menjaga imej pasukan.

“Siasatan lanjut dijalankan secara terpinci bagi menentukan hukuman-hukuman yang setimpal termasuk gantung dan buang kerja apabila disabitkan pihak mahkamah,” ujar beliau.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini