Vespa ‘tua’ kembali ‘remaja’

Vespa ‘tua’ kembali ‘remaja’

Mohamad Azarudeen sedang membaik pulih Vespa di bengkelnya di Taman Seri Cheeding.-– Utusan/Abdul Razak Idris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA menyangka motosikal lama seperti Vespa yang tersadai bertahun-tahun di dalam garaj mahu pun di bawah pokok boleh kembali berfungsi seolah-olah diberi peluang hidup kali kedua.

Istilah motosikal buruk hanya layak ditolak secara timbang kati kepada operator kitar semula mungkin tidak relevan dengan Vespa lama yang mampu ‘diremajakan’ semula.

Menurut seorang mekanik dari Taman Seri Cheeding Banting, Selangor, Mohamad Azarudeen Abdul Khalid,34, Vespa yang dikeluarkan pada era 1960-an hingga 1980-an sememangnya mempunyai ‘badan’ atau kerangka yang diperbuat daripada logam yang berkualiti dan tidak mudah reput disebabkan karat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Vespa lama yang dibawa kepada saya disebut sebagai ‘busuk’ atau buruk insya-Allah saya akan gunakan segala ilmu yang ada untuk kembali beroperasi di atas jalan.

“Sebenarnya, ia bermula sebagai hobi menunggang Vespa antik bersama rakan-rakan sekampung. Kini bertukar menjadi perniagaan menguntungkan apabila baik pulih vespa antik menjadi kerjaya saya,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohamad Azarudeen yang masih bujang berkata, permintaan terhadap Vespa antik hampir sama dengan motosikal Yamaha RX-Z.

KOS TINGGI

Katanya, cabaran membaik pulih Vespa berusia 30 hingga 40 tahun bukan sahaja mahal tetapi mengambil masa lama.

“Cabaran utama adalah untuk mendapatkan alat ganti pada harga berpatutan agar pelanggan tidak menanggung kos tinggi.

“Kos baik pulih sesebuah vespa antik boleh mencecah antara RM10,000 ribu hingga RM12,000 mengikut spesifikasi,”katanya.

Katanya, bagi model spesifikasi canggih, harganya boleh mencecah hingga lebih RM15,000.

Katanya, setiap pelanggan perlu menyediakan wang yang cukup untuk Vespa klasik yang diimpikan.

“Alat ganti biasanya saya akan dapatkan daripada pembekal di Seri Kembangan.Kebanyakan alat ganti ada di sana.

“Apa yang penting setiap kos yang terlibat akan dibincangkan dengan pelanggan kerana kerja-kerja baik pulih Vespa bukan setakat mengecat ‘badan’ malahan melibatkan proses pendawaian, penggantian komponen dalaman, tayar dan lain-lain,”ujarnya.

Mohamad Azarudeen Abdul Khalid (tengah) bergambar bersama ahli kelab Sa.Ra dalam satu program baru-baru ini.

Mohamad Azarudeen berkata, ilmu membaiki kenderaan zaman filem hitam putih tersebut terhad kepada beberapa bahan bercetak tertentu sahaja.

Justeru, selepas berhenti kerja di sebuah syarikat swasta dalam bidang elektrik, dia bertekad bekerja sebagai mekanik dan menuntut ilmu membaiki Vespa daripada mekanik yang berpengalaman.

“Saya menuntut ilmu membaiki Vespa bukan sahaja semasa bekerja sebagai mekanik di daerah ini, ada juga berkongsi ilmu dan bertukar idea di media sosial dan merujuk peminat Vespa klasik seluruh negara.

“Ahli-ahli kelab peminat Vespa klasik tidak lokek berkongsi ilmu dan membantu saya mencari alat ganti yang tidak boleh didapati daripada pembekal,”katanya.

Dia turut dibantu beberapa orang pekerja separuh masa termasuk yang muda dan berusia bagi memastikan Vespa mempercepat proses baik pulih.

Kemahiran membaiki Vespa klasik turut dikongsi bersama generasi muda bagi memastikan legasi membaik pulih Vespa terus kekal.

Selain bekerja sebagai mekanik, dia turut aktif dalam kelab motor Vespa klasik dan lain-lain jenis motosikal, Sa.Ra yang dianggotai oleh penduduk di taman perumahan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×