MUKADIMAH
KEMATIAN pelakon dan pengacara yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair pada Februari tahun lalu akibat kematian mengejut (sudden cardiac arrest) mula menjadi perbualan orang ramai kerana penyakit itu turut membunuh mereka yang sihat dan tiada rekod sakit jantung sebelumnya.
Malah, pemergian artis-artis lain seperti Hani Mohsin, Syamrin, Faizal Yusuf dan beberapa atlet, Mohd. Suffian Abd. Rahman dan Jacky Ng ke alam abadi juga dikatakan kematian secara mengejut.
Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), DR. MOHD. FAZRUL MOKHTAR memberitahu, mangsa mungkin boleh diselamatkan sekiranya menerima bantuan awal melalui cardiopulmonary resuscitation atau dikenali sebagai CPR.
Ditemui wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan INTAN SUHANA CHE OMAR serta jurufoto, ZULFADLI ZAKI, baru-baru ini, Mohd. Fazrul menjelaskan, melalui teknik yang betul, mangsa memiliki peluang yang besar untuk terus hidup.
Beliau yang berkhidmat di Fakulti Perubatan UiTM dan Hospital UiTM turut berkongsi ilmu CPR kepada orang ramai.
UTUSAN: Perbezaan serangan jantung dan kematian mengejut?
MOHD. FAZRUL: Perkara paling mudah untuk mengesan serangan jantung adalah mereka mempunyai simptom seperti sakit dada dan kesukaran bernafas. Ini berpunca daripada aliran darah yang membawa oksigen ke otot jantung menjadi tersumbat lalu berkurangan. Ia akan menyebabkan sakit dan ini memerlukan rawatan segera di hospital. Serangan jantung juga boleh membawa kepada kematian.
Sementara kematian mengejut pula terjadi apabila jantung berhenti berdegup secara tiba-tiba. Mangsa selalunya mengalami tanda-tanda amaran seperti sakit dada, sesak nafas, mual, pening dan muntah sebelum mereka rebah tidak sedarkan diri serta tidak bernafas.
Mengapa boleh terjadi?
Kajian menunjukkan majoriti mangsa yang meninggal dunia secara mengejut sebenarnya mempunyai sejarah perubatan seperti penyakit arteri koronari atau penyakit jantung lain termasuk masalah elektrofisiologi jantung yang tidak normal. Masalah ini sama ada mungkin sudah diketahui atau tidak pernah dikesan sebelumnya. Gaya hidup dan pemakanan tidak sihat, serta pengambilan suplemen yang berbahaya juga boleh mencetuskan masalah kepada fungsi normal jantung.
Kematian mengejut tidak mengenal usia dan turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan belia.
WAJIB BELAJAR CPR
Apa boleh dilakukan ketika berhadapan detik kecemasan?
Pertama sekali, pastikan keadaan di sekeliling adalah selamat. Kemudian, periksa tahap kesedaran mangsa. Sekiranya mangsa tidak sedarkan diri, dapatkan bantuan kecemasan daripada orang sekeliling dan hubungi talian 999. Minta seseorang mendapatkan peranti defibrilasi automatik ( AED) jika ada berdekatan tempat kejadian.
Baringkan mangsa dengan betul dan kemudian periksa sama ada mangsa masih bernafas atau tidak dengan melihat pergerakan pada dada mangsa. Sekiranya mangsa tidak bernafas, segera lakukan tekanan dada atau CPR sementara menunggu ketibaan pasukan paramedik.
Masa adalah sangat penting apabila mangsa yang tidak sedar tidak bernafas. CPR perlu dilakukan segera. Kerosakan otak kekal bermula seawal empat minit tanpa oksigen dan bantuan CPR boleh membantu mangsa hidup selain mencegah kerosakan otak.
Bolehkah mereka yang tiada latar belakang perubatan melakukan CPR?
Sudah pasti boleh kerana itu ilmu CPR perlu diketahui umum. Melalui teknik yang betul, sudah pasti kita mampu menyelamatkan nyawa seseorang.
Boleh kongsikan teknik CPR yang betul?
Teknik CPR tidak semestinya melibatkan bantuan pernafasan mulut ke mulut. Orang ramai boleh menggunakan teknik hands-only CPR iaitu memberi tekanan dada sahaja.
CPR dapat membantu mengepam kembali darah ke seluruh badan dan menghantar oksigen ke otak serta organ penting lain. Ia sekali gus memberi peluang besar untuk hidup.
Sebelum memulakan CPR, duduk di sebelah mangsa. Bagi mangsa dewasa, CPR dilakukan dengan meletakkan satu tapak tangan di tengah dada mangsa sementara sebelah lagi tangan diletakkan di atas tangan yang pertama dan silangkan jari-jari. Kemudian, luruskan lengan dan siku, pastikan bahu tegak di atas dada mangsa dan tekan dengan kuat dan laju, sedalam lima sentimeter (cm) atau dua inci ke bawah. Lakukan tekanan dengan kadar 100 hingga 120 tekanan dada seminit.
Secara mudahnya, tempoh pengiraan tekanan yang betul boleh mengikut rentak lagu Stayin’ Alive nyayian Bee Gees. Ini kerana jika tekanan dilakukan terlalu laju atau perlahan, ia mungkin tidak akan memberi banyak impak kepada mangsa.
Semasa memberi tekanan, pastikan dada mangsa kembali ke posisi asal dengan sendiri selepas ditekan. Sambung tekanan sehingga mangsa memberi respons atau paramedik tiba atau anda kepenatan untuk meneruskan tekanan dada. Sekiranya terpaksa berhenti, pastikan ia tidak melebihi 10 saat.
Adakah mangsa boleh cedera disebabkan CPR?
Komplikasi mungkin berlaku, namun data menunjukkan insiden sedemikian amat jarang. Sekiranya berlaku, ia adalah komplikasi yang boleh dirawat.
Mengapa bayi dan kanak-kanak juga berisiko mati mengejut?
Majoriti kes cardiac arrest melibatkan kanak-kanak disebabkan oleh masalah pernafasan, selain masalah jantung yang ada sejak lahir. Contohnya, kerap kali kita mendengar berita kematian kanak-kanak akibat lemas, sama ada di bilik air, kolam renang atau lain-lain. Lemas boleh mengakibatkan keadaan yang dipanggil hypoxemia atau kekurangan oksigen yang kemudian menyebabkan terjejasnya fungsi jantung.
Sekiranya anda berhadapan dengan situasi cardiac arrest dalam kalangan kanak-kanak, dapatkan bantuan dan hubungi talian kecemasan 999 serta berikan bantuan CPR dengan segera. Teknik CPR untuk bayi adalah sedikit berbeza berbanding orang dewasa.
Berapa peratus peluang untuk mangsa selamat selepas CPR?
Data kajian antarabangsa menunjukkan kadar survival untuk mangsa yang menerima bantuan CPR di luar hospital adalah melebihi 50 peratus sekiranya CPR dilakukan oleh orang di sekeliling dengan tahap kualiti yang baik. Mangsa yang menerima CPR mempunyai kebarangkalian untuk hidup lebih tinggi daripada mangsa yang tidak menerima bantuan CPR. Sekiranya bantuan CPR disertakan dengan bantuan renjatan menggunakan AED, kebarangkalian itu boleh berganda.
Banyak kes kematian mengejut berlaku di pusat sukan kerana mangsa melakukan aktiviti di sebelah malam selepas penat bekerja pada waktu siang. Komen?
Ya, stres dan kepenatan bekerja sepanjang hari adalah risiko kepada masalah ini. Bagaimanapun, terdapat juga risiko lain termasuk gaya hidup tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol, obesiti dan lain-lain.
Justeru, petugas di pusat sukan seperti di fasiliti gimnasium, futsal, badminton, tenis atau padang golf disaran mempelajari CPR dan menyediakan AED bagi tujuan kecemasan.
TAKUT, TERAGAK-AGAK, PANIK
Mengapa orang ramai lebih memilih menghantar mangsa cardiac arrest ke hospital berbanding melakukan CPR?
Mangsa yang tidak sedar dan tidak bernafas sebenarnya perlu segera menerima bantuan CPR. Persepsi membawa mangsa terus ke hospital tanpa menunggu ketibaan ambulans mungkin tidak sesuai dalam semua situasi. Sebaliknya, kita boleh menghubungi talian kecemasan dan melakukan CPR terlebih dahulu sementara menunggu paramedik tiba. Melambatkan bantuan CPR hanya menipiskan peluang untuk mangsa kembali bernafas.
Ada juga yang berasa takut dipersalahkan atau dihadapkan dengan kesalahan undang-undang sekiranya memberi komplikasi kepada mangsa semasa memberi bantuan CPR, lalu memilih untuk hanya melihat, merakam atau membawa mangsa terus ke hospital.
Kurang atau tidak tahu teknik CPR menjadi punca bantuan awal itu tidak diberikan ketika kecemasan. Komen?
Ramai rakyat di seluruh dunia pernah mendengar tentang CPR, namun ramai juga sebenarnya tidak pasti teknik CPR yang betul menyebabkan mereka tidak melakukan CPR atau teragak-agak dalam memberi bantuan awal ini.
Bagaimana teknologi kini dapat meningkatkan penglibatan orang awam untuk melakukan CPR apabila berlaku cardiac arrest?
Kita mungkin tidak dapat melatih semua orang untuk melakukan CPR. Oleh itu, selari dengan perkembangan teknologi, kita boleh mewujudkan aplikasi telefon pintar yang mampu meningkatkan jangkauan sukarelawan CPR ke tempat kejadian. Saksi kejadian boleh mengaktifkan sukarelawan yang berada berdekatan dengan mangsa untuk datang membantu melakukan CPR sebelum ketibaan paramedik.
Melalui aplikasi ini juga, saksi kejadian dapat mengesan peranti AED yang terdekat dengan memanfaatkan fungsi geolokasi. Untuk merealisasikannya, perlu ada lebih banyak kerjasama antara anggota perubatan dan pakar teknologi.
Ketika penularan pandemik Covid-19, adakah memberi bantuan CPR akan mendedahkan penyelamat dijangkiti wabak sekiranya status mangsa tidak diketahui?
Bantuan hands-only CPR dapat membantu menyelamatkan mangsa cardiac arrest. Bagi meminimumkan risiko jangkitan daripada mangsa yang tidak dikenali, penyelamat boleh memakai pelitup muka dan meletakkan kain atau pelitup pada mulut dan hidung mangsa semasa CPR dilakukan.
Difahamkan Dr. sering menganjurkan program pendidikan CPR dalam mendidik orang ramai mengenai teknik dan kepentingan bantuan awal itu. Bagaimana respons?
Ya, saya terlibat secara aktif dalam latihan CPR. Pasukan kami juga menjalankan program pendidikan CPR bersama komuniti di karnival-karnival kesihatan, dewan orang ramai, masjid, sekolah, tadika dan lain-lain.
Saya berasa teruja kerana ramai yang berminat untuk belajar CPR. Selepas kami lakukan demonstrasi, kesemua mereka dapat melakukannya dengan betul. Jadi, CPR sebenarnya mudah dipelajari dan dilakukan.
Ramai yang menyuarakan kerisauan seandainya berhadapan dengan situasi cemas sebegini dan terus terlupa teknik yang dipelajari. Oleh itu, saya selalu menasihati mereka supaya bertenang, tidak panik dan dapatkan pertolongan segera atau hubungi talian 999, di samping memberi bantuan awal CPR.
Bagaimana orang ramai boleh menyertai latihan CPR?
Sebenarnya, banyak organisasi yang menjalankan latihan CPR untuk orang awam melalui kursus Basic Life Support, termasuklah yang kami jalankan di Fakulti Perubatan UiTM. Dengan menyertai kursus yang selalunya memakan masa setengah hari sahaja, peserta akan diberi pendedahan kepada cara menghadapi situasi cardiac arrest bagi mangsa dewasa, bayi, kanak-kanak, mangsa tercekik dan mangsa lemas serta diajar teknik penggunaan peranti AED. Selepas kursus ini, keyakinan peserta bertambah dan mereka lebih bersedia dalam menghadapi situasi cemas.
Orang ramai juga boleh menyertai aktiviti CPR yang dijalankan oleh para sukarelawan di peringkat komuniti. Ini kebanyakkannya dilakukan secara percuma.
Boleh kongsi pengalaman melatih CPR semasa pandemik Covid-19?
Banyak kursus dan latihan CPR yang terpaksa dihentikan sementara waktu bagi kami menumpukan kepada persediaan menghadapi pandemik Covid-19. Bagi memastikan latihan CPR terus dijalankan, banyak perubahan yang dilakukan bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP). Di UiTM, kami memperkenalkan kaedah pengajaran CPR secara hibrid, dan ini ternyata telah memberi impak positif dari segi pengetahuan, kemahiran dan kepuasan peserta yang terdiri daripada kakitangan klinikal di Hospital UiTM.










