Memasuki musim tengkujuh yang sudah bermula sejak awal minggu lalu menandakan beberapa negeri bakal menerima episod hujan lebat dan kemungkinan banjir di beberapa kawasan.
Selain menyebabkan kerosakan harta benda serta merencatkan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi setempat, banjir juga memberi kesan kepada sektor pertanian dan perladangan komoditi negara.
Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Daljit Singh Karam Singh berkata, mitigasi awal penting dalam memastikan perladangan komoditi negara tidak terjejas walaupun berlaku hujan lebat yang menjurus kepada banjir kilat.
Pembinaan tebatan banjir merupakan cara yang paling ampuh untuk kawalan banjir pada tanaman, namun kaedah itu tidak dinafikan menelan kos yang agak tinggi.
Justeru, alternatif lain yang boleh diambil adalah dengan menggunakan raised platform atau raised bed pada kawasan tanah rendah serta terdedah kepada banjir.
“Penanaman dalam rumah hijau juga boleh dijadikan alternatif, namun bukan semua tanaman komoditi boleh ditanam dalam rumah hijau. Antara tanaman yang sesuai adalah koko dan kenaf.
“Selain itu, pemasangan sistem saluran atau penyerapan air bawah tanah juga penting kerana ia dapat menyalurkan air hujan berlebihan daripada kawasan tanaman komoditi,” katanya.
TUAIAN AIR HUJAN
Sistem penuiaan air hujan dapat menyimpan air hujan berlebihan dalam takungan air yang boleh digunapakai semula untuk tujuan pengairan setelah keadaan banjir reda.
Daripada segi pengurusan tanah pula, penggunaan sungkupan pada tanah dan tanaman komoditi dapat meningkatkan kualiti struktur tanah dan mengurangkan hakisan tanah akibat daripada banjir.
Penggunaan bahan organik juga meningkatkan kualiti tanah kerana ia bukan hanya meningkatkan kesuburan tanah, malah boleh menyerap kelembapan dan seterusnya mengurangkan masalah air bertakung di ladang komoditi.
Selain itu, tananam penutup bumi juga penting kerana dapat melindungi tanah daripada hakisan semasa hujan lebat mahupun banjir kilat.
“Sekiranya fenomena banjir ini sukar dielakkan, sudah tiba masanya pengurus ladang mengambil pendekatan berbeza dengan mempelbagaikan tanaman komoditi.
“Penanaman boleh dilakukan pada masa berbeza untuk mengurangkan kadar kerugian di samping penanaman tanaman komoditi yang lebih berdaya tahan terhadap banjir perlu diutamakan,” ujarnya.
Tambah Daljit Singh, pelan pasca pemulihan selepas banjir perlu menilai semula mitigasi-mitigasi yang telah dilakukan bagi menghadapi banjir.
Sejurus banjir surut, pihak bertanggungjawab perlu segera menyalirkan air banjir agar tidak bertakung dan menyebabkan kerosakan kepada akar pokok serta mengelakkan jangkitan penyakit pada tanaman.
Dalam hal ini, pengurusan ladang komoditi perlu sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan ramalan kaji cuaca agar mitigasi awal dapat dilakukan bagi mengelakkan kerosakan tanaman komoditi yang akhirnya akan menyebabkan kerugian serta merencatkan agenda keterjaminan makanan negara.
“Kemajuan dalam bidang penyelidikan berkaitan perladangan komoditi boleh membantu dalam menghasilkan varieti tanaman yang tahan banjir serta keadaan bertakung.
“ Selain itu, sesetengah tanaman diubah suai secara genetik untuk daya tahan yang lebih baik terhadap banjir, tetapi ini bergantung pada ketersediaannya di negara kita,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, sistem pengairan dan perparitan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.
Perubahan iklim serta aktiviti pembangunan sedikit sebanyak menyumbang kepada fenomena banjir.
Sistem perparitan yang baik dapat menyalurkan air berlebihan agar tidak bertakung dalam kawasan tanaman komoditi.
Selain itu, pengairan terkawal perlu dilakukan terutamanya di kawasan yang terdedah kepada banjir.
“Negara Belanda antara negara yang mempunyai sistem pengairan terbaik untuk mencegah banjir di mana ia mempunyai banyak daik, penghadang dan pam,” ujarnya lagi.











